Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Air mata duyung’ cemari kawasan pantai Inggeris

    Gambar AFP

    MILLBROOK, UNITED KINGDOM – Pada awal petang musim bunga, Pantai Tregantle bermandikan cahaya mempesonakan yang mengimbas kembali lukisan artis landskap British, JMW Turner tentang laut, langit dan matahari bergabung.

    “Ia cantik, kan? Tetapi lihat pada kaki awda,” kata Rob Arnold, 65, seorang aktivis dan artis alam sekitar, membongkok untuk mengutip bola plastik kecil, atau nurdles, yang juga digelar sebagai air mata ikan duyung, terlihat dari pasir pantai Cornwall.

    Saiznya sebesar sebiji lentil, serpihan kecil plastik digunakan oleh industri untuk mengeluarkan produk plastik.

    Tetapi apabila ia dibuang dari industri, ia dihanyutkan ke dalam longkang dan kemudian hanyut ke laut.

    Kira-kira 11.5 trilion nurdles berakhir di lautan setiap tahun, menurut badan amal UK Fauna & Flora International.

    Nurdles atau bola kecil plastik dan sisa mikro-plastik lain yang dikumpul di pantai Tregantle di Whitesand Bay.
    Seorang sukarelawan menunjukkan pelet plastik kecil yang dikumpul semasa pembersihan pantai Tregantle di Whitesand Bay, berhampiran Freathy, barat daya England.
    Seorang sukarelawan memasukkan pasir dan sisa yang disapu di pantai semasa pembersihan pantai Tregantle.
    Rob Arnold bergambar dengan 20 juta pelet plastik kecil yang dikumpulkannya selama enam tahun.
    Aktivis dan artis alam sekitar Rob Arnold (kiri) menggunakan mesin untuk menapis pelet plastik kecil dan mikroplastik daripada sisa semula jadi semasa pembersihan pantai.

    Setelah dilepaskan ke persekitaran semula jadi, bola plastik kecil itu beredar di arus laut dan sering terdampar di pantai-pantai.

    Disebabkan persamaannya dengan telur ikan, burung dan hidupan laut lain akan memakan pelet kecil tersebut yang juga menyerap bahan pencemar toksik, memberi kesan buruk kepada keseluruhan rantaian makanan, kata Arnold.

    Dia adalah antara kira-kira 10 orang yang mengambil bahagian dalam pembersihan di pantai di wilayah Cornwall, barat daya England, menggunakan peranti ciptaannya yang diperbuat daripada besen plastik, grid besar dan satu set tiub.

    “Ia mengasingkan sisa plastik daripada sisa semula jadi dan pasir melalui sistem penapisan dan sistem terapung air,” kata bekas jurutera itu.

    Dia kemudian menggunakan sisa tersebut yang dikumpulnya berserta mikroplastik lain seperti cebisan kecil plastik dalam karya seninya.

    Jed Louis, 58, memakai jaket hoodie berwarna khaki, yang tertera dengan nama persatuan pembersihan pantai tempatan, berkata beberapa faktor menambah pencemaran pantai.

    “Pantai ini sangat tercemar kerana lokasi geografinya, arus laut yang menjejaskannya dan bentuknya yang sangat terbuka,” katanya.

    “Pada musim luruh dan musim sejuk, kami mendapati kebanyakan mikroplastik naik ke permukaan akibat cuaca ribut, ribut petir dan angin.

    “Malangnya plastik itu kekal, ia tidak akan hilang,” katanya.

    Seorang lagi sukarelawan Claire Wallerstein, 53, berkata “kadang-kadang ia seperti melakukan arkeologi. Jika awda menggali di dalam pasir, awda akan menemui lapisan plastik yang berbeza.”

    Sebahagian daripada sisa plastik tersebut digunakan oleh Arnold untuk dijadikan bahan ciptaan artistiknya manakala yang lain digunakan untuk meningkatkan kesedaran di sekolah.

    Selebihnya, yang tidak boleh di kitar semula, dibuang ke dalam sampah dan dibakar.

    Setelah tiga jam, para sukarelawan telah membersihkan hanya beberapa meter persegi pantai.

    Arnold melihat sisa yang dikutipnya, terpal besar beberapa meter tinggi yang dipenuhi dengan nurdles dan mikroplastik lain.

    Setelah kering dan disusun semula, dia menyatukan kutipannya dengan 20 juta nurdles yang telah dikumpulkannya sebelum ini dalam tempoh enam tahun yang disimpan di garaj rakannya.

    Karya Arnold yang paling terkenal ialah arca setinggi 1.7 meter, serupa dengan patung Moai di Pulau Easter.

    Karya itu dipamerkan di Muzium Maritim Negara Cornwall di bandar pantai Falmouth dengan nama A Lesson from History.

    “Ia adalah metafora kepada apa yang kita lakukan di sini terhadap planet bumi kita. Kita mencemarkan planet kita, menggunakan sumbernya. Jika kita memusnahkannya, kita tidak mempunyai tempat untuk pergi, ini adalah satu-satunya rumah kita,” kata Arnold.

    Untuk ciptaannya yang seterusnya, dia mahu membentuk bola plastik kecil itu menjadi meteorit yang menuju ke Bumi, bagi memperingati penyebab kepupusan dinosaur dan kerapuhan planet kita.

    Selepas membersihkan pantai dan mengemas begnya yang penuh dengan pelet plastik kecil, Arnold kelihatan kecewa.

    “Kadang-kadang saya terfikir untuk membuang semua kembali ke sungai. Dengan cara itu mungkin akan mengejutkan orang ramai dan akhirnya, mereka akan menyedari perkara ini,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda