Di sebalik imej ranggi dan wajah serius yang sering dilihat ketika beraksi di pentas, siapa sangka, hati gitaris terkenal, Man Kidal, cukup sensitif apabila isu mengenai kecaman terhadap vokalis kumpulan Search, iaitu Datuk Amy, dibangkitkan.
Biarpun cuba ditahan, namun gugur juga air mata Man Kidal tatkala meluahkan rasa kecewa terhadap sikap biadab segelintir warganet yang gemar melontar komen berbisa tanpa memikirkan perasaan orang lain.
Man Kidal atau nama sebenar, Abdul Rahman Mahmood, 61, menyelar tindakan segelintir warganet mengkritik Amy yang disifatkan melampau.
“Kami bukan tidak boleh terima kritikan. Kami juga tidak harapkan pujian. Cuma, dalam hal ini, saya tahu mereka yang membuat komen negatif terhadap Amy ada banyak tujuan.
“Ada yang sengaja memancing emosi, mahu tunjuk pandai dan ada yang bersifat peribadi.
Apa yang membuatkan saya sedih apabila komen yang dilontarkan adalah biadab dan melampau batas.
“Di mana rasa hormat mereka terhadap seorang legenda yang sudah menghabiskan empat dekad daripada usianya (Amy) untuk seni,” katanya kepada BH Online.
Sebagai insan yang rapat dengan Amy atau nama sebenar, Suhaimi Abdul Rahman, Man Kidal melihat kesungguhan sahabatnya itu menjayakan Konsert Search Symphonic Live In Kuala Lumpur di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 21 September lalu.
“Komitmen ditunjukkan Amy untuk konsert itu sangat tinggi. Kami semua bekerja keras demi menjayakan konsert itu.
“Untuk individu yang sudah mencecah usia 66 tahun, Amy memberi yang terbaik. Bagi saya, persembahannya pada malam itu sudah banyak berubah jika hendak dibandingkan sebelum ini.
“Bayangkan, dia sendirian menyanyi untuk tempoh tiga jam. Bagi seorang legenda rock sepertinya, Amy tidak perlu pun hendak buktikan apa-apa kepada peminat.
“Bagi saya kecaman yang dilemparkan itu lebih kepada fitnah,” katanya. – Agensi