Linangan air mata Tomok pada Konsert New Boyz 25th Anniversary Live In Kuala Lumpur di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Sabtu lalu, menjadi antara detik sukar dilupakan peminat, lapor BH Online.
Reaksi spontan vokalis New Boyz itu terpapar pada layar lebar di kiri dan kanan pentas, sebaik sahaja Tomok melihat peminat turut menyanyikan lagu Sejarah Mungkin Berulang yang meledakkan nama kumpulan itu di persada seni, lebih dua dekad lalu.
Tomok mengakui perasaan tersentuh kerana tidak menyangka perjalanan New Boyz dalam dunia muzik mampu bertahan hingga hari ini.
“Kalau diikutkan, lagu-lagu New Boyz bergenre pop. Justeru, apabila band kami diberi peluang beraksi di pentas gah seperti Dewan Plenari di mana ramai penyanyi ternama tempatan dan antarabangsa pernah buat persembahan di sini, saya jadi sebak.
“Perasaan itu timbul selepas mendapat tahu konsert kami ‘full house’ (tiket habis dibeli) dan kebanyakan yang datang adalah peminat setia New Boyz sejak 25 tahun lalu.

“Dari zaman mereka sekolah, berkahwin dan punya anak, mereka sanggup datang untuk menyokong kami,” katanya pada sidang media selepas konsert berakhir.
Ternyata penangan lagu kumpulan itu tidak boleh disangkal apabila memukau kira-kira 3,000 peminat yang memberikan sokongan pada malam itu.
Boleh dikatakan hampir semua lagu yang didendangkan dihafal peminat apabila mereka turut sama-sama menyanyi bersama Tomok.
Paling menarik, ketika Tomok menyanyikan lagu Putus apabila semua penonton menyalakan lampu pada cincin yang diberi petugas sebelum memasuki dewan.
Situasi itu menjadikan Dewan Plenari bersinar apabila dihiasi dengan cahaya pelbagai warna.
Sebagai mengimbau kenangan manis bersama peminat, Tomok memberi penghargaan kepada penonton bertuah dengan menghadiahkan patung beruang pelbagai saiz. – Agensi