Air New Zealand bakal perkenalkan katil penumpang

WELLINGTON, 26 FEB – Air New Zealand hari ini mengumumkan satu cadangan untuk meletakkan katil dalam kelas ‘economy’, yang didakwa mungkin terbukti sebagai satu ‘perubahan’ untuk penumpang yang terdesak untuk tidur dalam penerbangan jarak jauh.

Syarikat penerbangan itu, yang mengendali beberapa penerbangan paling jauh di dunia dari pangkalannya di Selatan Pasifik, berkata ‘Economy Skynest’ bertujuan memperkenalkan teknologi pod katil dalam penerbangan.

“Satu masalah yang dihadapi oleh penumpang ekonomi dalam penerbangan jarak jauh adalah tidak dapat berehat atau tidur,” kata ketua pegawai pemasaran syarikat penerbangan Mike Tod. “Pembangunan Economy Skynest merupakan respons langsung terhadap cabaran tersebut.”

Pod tersebut mengandungi enam katil, setiap satu berukuran 200 dan 58 sentimeter dengan bantal, cadar, selimut, penyumbat telinga serta tabir persendirian.

Idea yang dikemukakan adalah pod diletakkan dalam kabin kelas ekonomi dan penumpang menempah awal sesi untuk memecah perjalanan jarak jauh, dan bukannya duduk dalam kapal terbang sepanjang perjalanan.

Katil berkenaan tidak akan diperkenalkan untuk setahun lagi, tatkala syarikat penerbangan itu berusaha untuk mendapatkan kebenaran daripada pengawal selia untuk konsep berkenaan.

“Ia merupakan satu perubahan,” kata jurucakap untuk firma, yang berkata ia membenarkan Skynest digunakan oleh syarikat penerbangan lain. – AFP

Air New Zealand berkata ‘Economy Skynest’ mengandungi enam katil, setiap satu berukuran 200 dan 58 sentimeter dengan bantal, cadar, selimut, penyumbat telinga dan tabir persendirian. – Agensi