Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Air paip pengganti coolant?

    Secara umumnya, radiator berfungsi untuk menyejukkan enjin dan menghalang enjin daripada suhu panas melampau (overheating).

    Radiator tersebut akan diisi dengan cecair penyejuk yang menyerap haba daripada enjin dan memindahkannya ke radiator untuk proses penyejukan.

    Kalau zaman dahulu, pemandu kereta sering dinasihatkan untuk menyimpan air di dalam kereta untuk topup air radiator sekiranya kering. Namun zaman dah berubah di mana kereta masa kini hadir dengan coolant tersendiri yang ditambah formula anti-karat.

    Persoalannya, bolehkah guna air paip sebagai ganti coolant dalam radiator kereta pada zaman ini?

    BOLEH KE GUNA AIR PAIP?

    Menurut laman web Carlist Malaysia, air paip atau air biasa boleh digunakan di dalam radiator. Secara amnya, air dan coolant membawa fungsi yang sama sebagai cecair penyejuk yang menyejukkan suhu enjin, jadi ia boleh digunakan.

    Gambar Freepik

    Walau bagaimanapun, penggunaan air paip di dalam radiator sangat tidak digalakkan kerana air biasa mengandungi pelbagai kelemahan berbanding cecair coolant yang disyorkan.

    KELEMAHAN GUNA AIR SEBAGAI CECAIR PENYEJUK

    Air biasa tidak mempunyai ciri maksimum untuk menyejukkan enjin seperti coolant. Ia memiliki takat didih rendah, iaitu 100 darjah Celcius dengan kadar pengewapan tinggi menyebabkan air berkurangan jika suhu enjin terlampau tinggi.

    Maka, breakdown sering berlaku ketika terperangkap dalam kesesakan jalan raya atau jika enjin beroperasi terlalu lama.

    Selain itu, radiator akan mudah berkarat dan berkerak jika digunakan terlalu lama kerana sifat bahan mineral yang terdapat dalam air. Permukaan dalam radiator juga boleh terhakis dan akan menyebabkan kebocoran.

    Oleh itu, boleh guna air tak bermaksud ia selamat digunakan untuk jangka masa panjang. Seeloknya, gunakan cecair coolant untuk tempoh masa yang disyorkan seperti yang dinyatakan di dalam buku manual kereta awda.

    KELEBIHAN MENGGUNAKAN COOLANT

    Antara kelebihan coolant ialah ia memberikan perlindungan maksimum kerana direka dengan pelbagai bahan tambahan untuk mengoptimumkan suhu. Kebiasaannya, coolant mengandungi air suling, bahan antibeku, propilena glikol (propylene glycol) dan bahan cegah karat.

    Selain itu, ia memiliki takat didih lebih tinggi dan takat beku lebih rendah berbanding air biasa, sekali gus dapat menghalang hakisan di saluran radiator yang mana mampu menghalang air berkarat.

    Seterusnya, coolant juga mampu mengurangkan terjadinya endapan yang boleh menjejaskan proses penyejukan.

    Walau bagaimanapun, ada mekanik yang mengatakan bahawa boleh sahaja kalau nak guna air biasa untuk menggantikan coolant jika berlaku kecemasan seperti radiator bocor.

    Namun, ia tidak digalakkan untuk penggunaan jangka masa panjang.

    Jika ia kerap digunakan, bukan sahaja radiator yang akan berkarat, namun bahagian enjin kereta juga turut akan sama berkarat menyebabkan kereta mudah overheat selain waterpump juga berisiko rosak.

    Seeloknya, hubungi sahaja pihak insurans awda dan tunda sahaja kereta tersebut ke bengkel berdekatan untuk dibaiki. Kebiasaannya, pihak insurans akan menawarkan khidmat tunda kepada awda sekiranya berlaku sebarang kerosakan.

    Kesimpulannya, karat akan terjadi dengan kehadiran udara dan air. Untuk mengelakkan radiator kereta awda daripada berkarat dan berkerak, elakkan penggunaan air paip, air reverse-osmosis atau segala jenis air kerana sifat semula jadi air yang akan menyebabkan karat. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda