PONTIAN, 26 DIS – Fenomena air pasang besar yang berlaku di Taman Negara Tanjung Piai, di sini, terus menjadi tarikan pelancong dan penduduk setempat terutama ketika musim cuti sekolah.
Penolong Pengurus Taman Negara Tanjung Piai Afendi Abdullah berkata air pasang besar berlaku sejak 22 Dis lepas dan dijangka berterusan hingga esok dengan ketinggian maksimum 3.6 meter hari ini.
Beliau berkata fenomena air pasang tersebut bermula pada 10:30 pagi hingga 1 tengah hari, namun pengunjung boleh melihat ketinggian air pasang paras maksimum sekitar 11:15 pagi.
“Pihak Taman Negara Tanjung Piai menyasarkan kehadiran pengunjung dan pelancong hingga hujung tahun ini seramai 150,000 orang, dengan 4,000 pengunjung telah berpeluang menyaksikan fenomena air pasang besar.
“Bagi tahun ini sahaja, hingga November lepas taman negara berkenaan telah dikunjungi seramai 140,000 orang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Cuti-Cuti Malaysia
Fun Ride Penghujung Benua Asia Sempena Pesta Air Pasang Besar Tanjung Piai 2022, hari ini.
Menurut Afendi kebiasaannya fenomena air pasang akan berlaku antara tiga hingga empat kali dalam setahun. – Bernama