TOKYO, 27 JUN – Wajah para pegawai ‘bertukar merah’ di sebuah kilang minuman keras di wilayah Okinawa, Jepun hari ini, selepas berlakunya insiden yang menyebabkan air di pelabuhan bertukar menjadi merah jambu.
Satu kebocoran cecair telah memenuhi kawasan pelabuhan di bandar Nago dengan air berwarna suram, yang digambarkan oleh seorang pengguna Twitter sebagai ‘berbisa’.
Orion Breweries berkata air yang digunakan untuk penyejukan, yang mengandungi cecair dipanggil propilena glikol pencelup merah dengan pewarna makanan telah bocor dari sebuah kilang di kawasan itu.
Dalam satu kenyataan, ia memohon maaf kerana ‘menimbulkan masalah dan kebimbangan yang besar’.
“Kami percaya air penyejuk yang bocor meresap melalui longkang air hujan dan menuju ke sungai dan seterusnya menjadikan lautan merah,” kata syarikat itu.
Air merah itu tidak mendatangkan bahaya kepada manusia atau ekosistem marin, menurut akhbar Yomiuri memetik syarikat itu sebagai berkata.
Okinawa adalah rangkaian pulau subtropika yang terkenal dengan perairan biru kristalnya dan popular dengan penyelam skuba.
“Warna merah itu memang kelihatan berbisa, tetapi lega apabila mengetahui ia hanya pewarna makanan dan tidak mungkin menyebabkan kerosakan besar,” tulis seorang pengguna Twitter di bawah nama Aresu. – AFP
