Friday, February 7, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Air tebu dapat permintaan tinggi semasa Ramadan dan Syawal

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Ramadan sudah berlalu dan Syawal pula sudah lebih seminggu diraikan, namun penjual air tebu, Awang Hanafi Zaini, masih lagi menerima tempahan air tebu daripada pelanggannya.

    Beliau yang pada Ramadan lalu menjual air tebu untuk suka-suka dan mengongsikannya di laman sosial Facebook, tidak menyangka jualan air tebunya mendapat permintaan yang menggalakkan.

    “Alhamdulillah, permintaan air tebu pada bulan Ramadan lalu amat menggalakkan daripada rakan-rakan dan saudara mara,” katanya yang menjual air tebu pada harga berpatutan sebotol.

    “Larangan jualan bazar Ramadan yang lalu bagi membendung penularan COVID-19, mempunyai hikmahnya tersendiri. Saya percaya rezeki itu sudah ditentukanNya. Buktinya air tebu kami sering mendapat permintaan dan tempahan turut dibuat oleh pelanggan sehingga ke Syawal.”

    Menurutnya lagi, air tebunya meraih keuntungan antara $100 sehingga $120 sehari setiap kali membuka jualan semasa Ramadan lalu dan tempahan raya pula agak berbaloi. Beliau cukup menjaga kualiti air tebunya, yang mungkin menjadi salah satu tarikan pelanggan kembali membeli daripadanya.

    “Sebelum memerah air tebu, saya akan pastikan kulitnya dikupas terlebih dahulu dan dibersihkan dengan teliti, kemudian barulah kami memulakan pemerahan dengan mesin khas,” kata Awang Hanafi semasa menerangkan proses memerah air tebu.

    “Kerja-kerja menghasilkan air tebu bukan kerja mudah, ia memerlukan tenaga yang cukup dan hati yang kuat,” tambahannya.

    Namun pemuda yang mempunyai komitmen kerja itu mengatakan berniaga air tebu hanyalah aktiviti sambilan dan hanya akan menjualnya seminggu sekali sahaja selepas ini.

    Proses memerah air tebu menggunakan mesin khas.
    Awang Hanafi Zaini mengupas kulit tebu kemudian membersihkannya sebelum ia diperah.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda