Monday, April 21, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Air ‘telaga suci’ Ethiopia cetus wabak kolera

    BRUSSELS, 20 APRIL – Sekurang-kurangnya tujuh kes kolera di Jerman dan United Kingdom (UK) dikenal pasti berpunca daripada penggunaan air suci yang dibawa pulang dari sebuah telaga popular di Ethiopia yang didapati tercemar dengan bakteria Vibrio cholerae.

    Memetik laporan Oddity Central, kejadian itu mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa kesihatan Eropah selepas tiga individu di Jerman dan empat lagi di UK jatuh sakit pada Februari lalu. Siasatan segera mendapati lima daripada mereka baru pulang dari Ethiopia, termasuk mengunjungi telaga suci Bermel Giorgis yang terletak di daerah Quara.

    Telaga tersebut, yang dinamakan sempena Saint George, dianggap tempat suci oleh penganut Gereja Ortodoks Tewahedo Ethiopia dan dipercayai memiliki khasiat penyembuhan. Para pelawat termasuk dari Eropah dilaporkan meminum serta membasuh muka dengan air telaga itu dan beberapa individu turut membawa pulang air tersebut dalam botol plastik.

    Gambar Freepik

    Ujian makmal ke atas air yang dibawa pulang kemudian mengesahkan pencemaran bakteria Vibrio cholerae yang menyebabkan kolera. Menurut laporan Eurosurveillance, air tersebut didapati mengandungi jumlah bakteria yang sangat tinggi dan masih aktif walaupun disimpan dalam suhu bilik semasa penerbangan ke Eropah.

    “Dos jangkitan bagi V. cholerae dianggarkan sekitar 100,000 hingga 100 juta unit bakteria. Ini menunjukkan tahap pencemaran yang amat serius,” kata laporan itu.

    Lebih membimbangkan, strain bakteria itu menunjukkan ketahanan terhadap pelbagai antibiotik seperti fluoroquinolone, trimethoprim, chloramphenicol, aminoglikosida, beta-laktam dan makrolida. Namun begitu, kesemua pesakit dilaporkan pulih sepenuhnya selepas dirawat dengan antibiotik tetracycline yang masih berkesan.

    Pakar kesihatan awam menganggap kejadian itu sebagai amaran serius dan menggesa orang ramai agar sentiasa peka terhadap risiko penyakit berjangkit, meskipun ketika mengunjungi lokasi yang mempunyai nilai keagamaan.

    “Pelancong harus sentiasa mendapatkan maklumat mengenai tahap kebersihan dan risiko penyakit berjangkit di lokasi yang dikunjungi dan tidak sewenang-wenangnya meminum air walaupun ia dianggap suci,” menurut kenyataan Eurosurveillance. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda