Monday, December 23, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Air terjun terbakar pukau pelawat

    TAMAN NEGARA YOSEMITE, AMERIKA SYARIKAT, 16 FEB – Pemandangan ‘air terjun terbakar’ memukau pemerhati alam semula jadi di Taman Negara Yosemite, California semalam, dengan matahari terbenam menyinari air terjun seperti lingkaran api.

    Selama beberapa minggu setiap tahun, matahari terbenam akan menyinari Air Terjun Horsetail, kelihatan seolah-olah membakar air seperti aliran lahar yang menuruni lereng bukit.

    Fenomena itu, yang berlangsung beberapa minit semasa matahari terbenam dan menarik pelancong dari seluruh negara, bergantung pada kombinasi keadaan yang unik. “Apabila matahari terbenam di ufuk kanan, ia memantul pada El Capitan,” beritahu Pegawai Hal Ehwal Awam Taman Negara Yosemite, Scott Gediman kepada AFP.

    “Ia merupakan kombinasi pantulan cahaya matahari di air, langit cerah, air mengalir. Jika kesemua elemen tersebut bergabung, ia memberikan satu keajaiban.”

    Langit biru cerah di California semalam bermakna pelawat ke Yosemite – yang berada di tempat dan masa yang betul – berpeluang melihat air terjun itu.

    “Gambar yang saya lihat adalah menakjubkan,” kata jurugambar amatur, Terry Cantrell, yang telah berkunjung dari Fresno.

    Masa menunggu yang lama dan suhu sejuk adalah berbaloi bagi jurugambar Whitney Clark dari San Francisco. – AFP

    Air yang melata turun dari Air Terjun Horsetail dalam cahaya jingga yang dipantul dari matahari terbenam semasa fenomena ‘Firefall’ di Taman Negara Yosemite, California pada 15 Februari 2023. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda