Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Air tidak dirawat dikaitkan dengan wabak salmonela di AS

    AMERIKA SYARIKAT, 3 JULAI – Air tidak dirawat yang digunakan oleh penanam timun di
    Florida adalah salah satu punca keracunan makanan salmonella yang menyebabkan hampir 450 orang sakit di seluruh Amerika Syarikat (AS) pada musim bunga ini, kata pegawai kesihatan persekutuan, kelmarin.

    Namun pekebun berkenaan tidak menyumbang kepada semua penyakit berkaitan timun dan 125 kemasukan ke hospital yang dilapor dari akhir Mac hingga awal Jun, kata Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit.

    Salmonela yang ditemui dalam air terusan tidak dirawat yang digunakan oleh Bedner Growers Inc dari Boynton Beach, Florida, sepadan dengan jenis bakteria yang menyebabkan beberapa penyakit yang dilaporkan di lebih daripada 30 negeri dan Washington, D.C.

    Jenis salmonela tambahan dikesan dalam tanah dan sampel air yang dikumpulkan di tapak itu, kata pegawai FDA.

    Bedner Growers membekalkan kepada Fresh Start Produce Sales di Delray Beach, Florida, yang menarik balik peti-peti timun pada akhir Mei selepas penyakit pertama dilaporkan.

    Gambar Freepik

    Bedner Growers juga membekalkan timun ke beberapa tempat di mana orang sakit dilaporkan membeli atau memakan hasil tersebut, kata FDA.

    Air terusan tidak digunakan pada bahagian tanaman timun yang boleh dimakan, tetapi digunakan untuk penyiraman di bawah tanah, kata pemilik Bedner Growers, Steve Bedner.

    Dia menambah bahawa ia mematuhi peraturan persekutuan dan merupakan ‘amalan industri yang lazim digunakan.’

    Penyiasat pada asalnya berkata terdapat dua wabak salmonela yang mungkin dikaitkan dengan timun, tetapi menggabungkannya menjadi satu kerana beberapa persamaan, termasuk masa dan jenis makanan.

    Hampir 70 peratus orang sakit yang ditemu bual melaporkan makan timun sebelum mereka jatuh sakit, kata FDA. Siasatan masih diteruskan.

    Musim penanaman dan penuaian timun Bedner Growers telah berakhir. Tiada produk dari ladang itu masih ada di pasaran, kata FDA, jadi kemungkinan besar tidak timbulnya risiko berterusan kepada orang ramai. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda