MELBOURNE, 10 MEI – Air Vanuatu memfailkan perlindungan muflis hari ini, sehari selepas syarikat penerbangan milik negara Pasifik Selatan itu membatalkan semua penerbangan antarabangsa, menyebabkan beribu-ribu pelancong terkandas.
Syarikat penerbangan itu pada Rabu lalu membatalkan lebih daripada 20 penerbangan ke dan dari Sydney dan Brisbane, dan bandar New Zealand, Auckland untuk sepanjang minggu. Syarikat penerbangan itu berkata ia adalah hasil daripada ‘keperluan penyelenggaraan lanjutan’ pada pesawat mereka.
Morgan Kelly dari Ernst & Young Australia, Justin Walsh dan Andrew Hanson telah dilantik sebagai syarikat penyelesai, kata firma itu dalam satu kenyataan.
Penyelesai berkata pemeriksaan keselamatan dan penyelenggaraan akan dibuat sebelum operasi biasa disambung semula.
Kelly berkata pasukan pengurusan sedia ada syarikat penerbangan itu akan kekal di tempatnya.

“Tinjauan syarikat penerbangan ini adalah positif, walaupun terdapat tekanan terhadap industri yang lebih luas, dan kami akan memberi tumpuan untuk menjamin masa depannya,” tambah Kelly.
Penumpang yang terjejas akan dimaklumkan mengenai gangguan ini dan boleh menempah semula penerbangan sebaik sahaja operasi disambung semula, kata kenyataan itu.
Air Vanuatu mengendalikan empat pesawat, termasuk satu Boeing 737 dan tiga pesawat turboprop.
Pelancongan menyumbang 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar Vanuatu.
Kelly berkata, Air Vanuatu telah terjejas disebabkan oleh kekurangan buruh, peningkatan kos operasi, kadar faedah yang tinggi dan kejadian siklon tropika sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kerajaan Vanuatu telah menyatakan bahawa mereka lebih suka untuk menyambung semula operasi secepat mungkin.
“Peranan kami sebagai penyelesai sukarela adalah untuk menilai semua pilihan untuk mencapainya dan menjadikannya mampan,” kata Kelly kepada pemberita. – AP

