ISSYK KUL LAKE, KYRGYZSTAN – Di tepi Tasik Issyk Kul di Kyrgyzstan yang berbukit, sekumpulan penyelam mempamerkan hasil tangkapan mereka untuk hari itu – enjin bot, tayar kereta, botol, pakaian dan barangan plastik.
“Kami teringin untuk menyelam dan tidak menemui sebarang sampah,” kata Anvar Shamsutdinov, ketua berusia 59 tahun bagi sekumpulan penyelam sukarelawan tersebut.
“Pantai kelihatan bersih tetapi orang ramai tidak menyedari apa yang berada di bawah air,” katanya, sambil pelancong berhenti untuk melihat.
Dikelilingi oleh puncak gunung Asia Tengah yang bersalji melebihi 4,000 meter tinggi, Issyk Kul merupakan tasik gunung tertinggi kedua terbesar di dunia.
Musim panas yang singkat tetapi terik tahun ini baru sahaja bermula di kawasan indah yang merupakan bekas republik Soviet, di mana pantai terdekat terletak beribu-ribu kilometer jauhnya.
Namun, kedatangan pelawat dan sampah yang mereka tinggalkan mengancam tasik luas yang dikenali sebagai ‘mutiara Kyrgyzstan’ ini, di mana airnya yang bersih sangat terdedah kepada pencemaran.
Kawasan tasik ini merupakan tapak warisan UNESCO, tempat tinggal bagi serigala dan helang serta kawasan musim sejuk bagi puluhan ribu burung air yang berhijrah.
“Pada 2014, kami melakukan beberapa orientasi di bawah air dan kami menyedari betapa teruknya keadaan di bawah air,” kata Shamsutdinov.
“Jadi kami memutuskan untuk membersihkan tasik ini,” kata penyelam itu, yang menganggarkan dia telah mengumpulkan 20 tan sampah sejak menubuhkan persatuannya, ‘Clean Issyk Kul’.
Untuk generasi akan datang?
Semasa lawatan ke tasik tersebut pada awal tahun ini, Presiden Kyrgyzstan, Sadyr Japarov mengingatkan tentang bahaya dan menggesa orang ramai untuk memelihara tasik itu.
“Mengapa ada begitu banyak sikap acuh tak acuh dan tidak sensitif terhadap tasik kesayangan kita?” tanya beliau.
“Kebersihan adalah mengenai aktiviti membersihkan. Ia adalah tentang tindakan tidak membuang sampah pada mulanya.”
Kementerian situasi kecemasan juga telah menghantar penyelam untuk membantu Sham-suddinov dan pasukan sukarelawannya.
Inisiatif-inisiatif ini disambut baik oleh Gulzam Satybaldieva, yang menjalankan sebuah kedai di pantai di salah satu pusat peranginan utama tasik berkenaan, Cholpon-Ata, dan berterima kasih kepada ‘penyelam yang sensitif terhadap masalah alam sekitar’.
“Jika pelancong dan (penduduk tempatan) mencontohi mereka, kita akan dapat mewariskan tasik yang bersih kepada generasi akan datang,” katanya.
Tetapi di Kyrzgystan, seperti di seluruh Asia Tengah, industri kitar semula menghadapi masalah kekurangan pelaburan dan masalah di Issyk Kul menjurus kepada isu-isu alam sekitar yang lebih luas, seperti jerebu akibat pembakaran arang batu dan sisa nuklear yang berlarutan dari zaman Soviet.
“Kami tidak pernah membersihkan tasik ini dalam tempoh 30 tahun – sejak merdeka daripada Kesatuan Soviet,” kata Aidar Kaptagayev, seorang penyelam dari kementerian situasi kecemasan.
Dia telah menyelam di tasik itu sejak Mac pada kedalaman sehingga 40 meter untuk mengeluarkan sampah.
Memberi malu
Selain daripada petrol dan sisa dari kilang-kilang dan kemudahan-kemudahan industri lain, yang membahayakan kehidupan tumbuh-tumbuhan di tasik, plastik dan pukat ikan pula membahayakan kehidupan haiwan.
Tetapi kesedaran alam sekitar lambat diterima.
Shamsutdinov berkata beliau dan pasukannya kadangkala dituduh ‘membawa aib’ negara dengan memperlihatkan berapa banyak sampah yang dibuang ke dalam air.
Pengurus sebuah kafe di tepi tasik, Ruslan Myrzalyev, berkata bahawa ‘sesetengah pelancong tidak benar-benar menghormati peraturan mengenai pembuangan sampah, walaupun setelah diberitahu’.
Vera Argokova, seorang pelancong berusia 62 tahun dari wilayah Altai di Rusia, berkata dia sangat berhati-hati.
“Kami tidak membawa makanan ke pantai, hanya membawa botol. Kami mahu semuanya kekal bersih,” kata Argokova, yang menginap di sanatorium ‘Blue Issyk Kul’, dihiasi dengan patung-patung era Soviet termasuk salah satu daripada Lenin.
“Kami tidak mahu berehat sambil dikelilingi oleh sampah.” – AFP