KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2017 – AirAsia X mengumumkan Jeju, Korea Selatan sebagai destinasi terbaharu hari ini, bagi penerbangan terus 4 kali seminggu dari Kuala Lumpur ke pulau indah Jeju dengan tambang promosi dari RM199 sehala.
Menurut kenyataan AirAsia di sini, promosi istimewa tambang itu termasuk semua dari harga RM199 bagi tempat duduk ekonomi dan RM899 sehala bagi tempat duduk Premium Flatbed ini akan bermula dari 10 sehingga 15 October 2017 bagi tempoh perjalanan dari 12 Disember 2017 sehingga 25 Mac 2018, tersedia untuk tempahan di airasia.com.
Ketua Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, “Kami amat bangga menjadi satu-satunya syarikat penerbangan yang mengendalikan penerbangan terus ke Jeju, Korea Selatan dari Kuala Lumpur, menghubungkan pulau indah tersebut dengan Malaysia dan seluruh Asia melalui hub LCC Asia.
“Korea Selatan adalah pasaran yang penting dan kami telah mencatat pertumbuhan luar biasa dari laluan sedia ada kami ke Seoul dan Busan yang kini akan dilengkapi dengan perkhidmatan baharu kami ke Jeju, memudahkan transit domestik ke wilayah pulau ini buat tetamu kami,” jelasnya lagi.
Tambahnya, laluan baharu ini akan menyediakan lebih daripada 150,000 kapasiti tambahan setiap tahun dan ia merupakan rangsangan dalam memperkukuh hubungan perniagaan dan pelancongan antara Malaysia dan Korea Selatan. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan pihak berkuasa yang berkenaan atas sokongan padu yang telah diberikan dalam pelancaran laluan ini.
Sementara itu, menurut Ketua Pengarah Biro Pelancongan, Jeju Special Self- Governing Province, En. Lee Seung Chan berkata, “Kami ingin mengucapkan tahniah kepada AirAsia X diatas pelancaran laluan eksklusif ini yang menghubungkan Malaysia dengan Pulau Jeju. Kami yakin bahawa laluan terus ini akan meningkatkan kemasukan pelancong ke Jeju untuk menarik pelancong bukan sahaja dari Malaysia, bahkan dari negara lain yang kini boleh terbang ke Jeju dengan mudah melalui Kuala Lumpur.”
Para tetamu kini boleh menggunakan pilihan penerbangan sambungan (Fly-Thru) AirAsia untuk perhubungan lancar ke Jeju dari bandar-bandar lain di dalam rangkaian penerbangan AirAsia dan AirAsia X dengan hanya satu hentian tambahan, atau menggunakan pilihan pelbagai bandar untuk meneroka Jeju bersama Busan atau Seoul sebelum terbang semula ke Kuala Lumpur.