KUALA LUMPUR, 1 Mei – Kumpulan AirAsia mencatat faktor muatan sebanyak 89 peratus pada suku pertama 2017, naik tiga peratusan mata berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Dalam satu kenyataan hari ini, AirAsia Bhd berkata, jumlah penumpang yang dibawa meningkat 13 peratus tahun ke tahun kepada 15.23 juta, jauh lebih tinggi daripada pertambahan sembilan peratus dalam kapasiti tempat duduk.
Pada akhir suku di bawah kajian, bilangan pesawat kumpulan itu berjumlah 176 buah, katanya.
Malaysia AirAsia (MAA) mencatat faktor muatan 90 peratus pada suku pertama 2017, naik lima peratusan mata tahun ke tahun.
“Permintaan mengatasi pertambahan dalam kapasiti satu peratus tahun ke tahun, dengan jumlah penumpang dibawa meningkat enam peratus tahun ke tahun kepada 6.85 juta,” kata AirAsia. – Bernama