LONDON, 10 Oktober 2018 – AirAsia bekerjasama dengan Google Cloud untuk mengintegrasikan pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan (AI) dalam semua aspek perniagaan dan budaya sebagai sebahagian daripada transformasinya untuk menjadi syarikat perjalanan teknologi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, “AirAsia telah menerajui penggunaan teknologi digital baharu sejak penubuhan kami pada tahun 2001.
“Kami kini berada di fasa pembangunan seterusnya di mana kami berkembang untuk menjadi lebih daripada syarikat pengangkutan udara dengan mendigitalkan operasi dan prosedur kami supaya lebih cekap.
“Google Cloud membolehkan kami untuk menggunakan sepenuhnya data yang kami miliki, membuka peluang baharu dan membolehkan kami untuk menubuhkan perniagaan baharu. Kami sedang menubuhkan dua platform utama: airasia.com, yang akan menjadi satu platform perjalanan digital di mana para tetamu boleh menempah keperluan perjalanan dari penerbangan, penginapan, lawatan, pengangkutan darat hingga hiburan; dan biglife.com, laman gaya hidup kami yang sama seperti Kayak, Tripadvisor, Groupon dan eBay dalam satu,” jelasnya.
BigLife mengabungkan semua pelaburan digital di bawah aspek digital AirAsia iaitu Redbeat Ventures, seperti aplikasi pembayaran BigPay, sambungan dalam penerbangan AirAsiaROKKI, pasaran dalam talian Ourshop dan perkhidmatan logistik Redbox dan RedCargo.
“Kedua-dua platform ini akan membantu dalam memacu lebih banyak perniagaan kepada AirAsia dengan bantuan data,” kata Tan Sri Tony.
“AirAsia bermula dengan G Suite untuk mengubah cara organisasi mereka berfungsi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Google Cloud, Diane Greene.
“Kini, dengan platform analisis dan perkhidmatan pembelajaran mesin yang lebih maju, AirAsia dapat mendigitalkan setiap aspek perniagaan mereka untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada para tetamu.”