KUALA LUMPUR, 27 APRIL – AirAsia Group melaksanakan dasar perjalanan baharu untuk penumpangnya berikutan pandemik COVID-19, termasuk memerlukan mereka untuk membawa dan memakai penutup mulut dan hidung mereka sendiri sebelum, semasa dan selepas penerbangan, serta semasa mendaftar masuk dan mengambil bagasi.
Penumpang tanpa penutup mulut dan hidung muka tidak akan dibenarkan untuk menaiki pesawat, kata Ketua Pegawai Keselamatan Kapten Ling Liong Tien dalam kenyataan di laman web AirAsia hari ini.
AirAsia turut menyemak semula dasar bagasi kabin untuk memudahkan penjarakan sosial, terutamanya semasa naik dan turun pesawat, membenarkan hanya satu bagasi kabin tidak melebihi lima kilogram bagi setiap penumpang.
Ling berkata langkah itu akan membantu mengurangkan kontak yang tidak diingini antara penumpang dan bagasi penumpang yang lain dan sebaliknya.
Terdapat juga pemeriksaan suhu di pusat pemeriksaan yang berbeza, termasuk pintu masuk, katanya, sambil menambah, semua kru akan dikehendaki untuk menjalani pemeriksaan suhu selepas setiap syif.
“Sudah tentu, penjarakan sosial perlu dipantau, dan akan terdapat penanda di lantai di kawasan untuk beratur, termasuk kaunter daftar masu kdan kiosk.
“Langkah keselamatan lain ialah kaunter daftar masuk alternatif untuk memastikan jarak yang mencukupi, dan kami juga sedang mengusahakan untuk mempunyai proses daftar masuk tanpa kontak,” katanya. – Bernama