KUALA LUMPUR, 30 JUN – Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Group Bhd (AirAsia) dilihat sebagai pengendali penerbangan berjaya yang mampu menyelamatkan penerbangan nasional, Malaysia Airlines Bhd (MAB) daripada ‘berkubur.’
Menurut wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin, AirAsia juga telah memiliki satu elemen menyamai MAB iaitu cabang penerbangan jarak jauh, AirAsia X Bhd.
“Mereka ada pengalaman itu kerana memiliki AirAsia X yang melakukan penerbangan jauh sehingga ke Jeddah serta destinasi lain seperti Jepun, Korea Selatan dan China.
“Sudah pasti, struktur harga (tambang) mereka berbeza. Atas dasar itu, mereka memang berpengalaman namun sama ada boleh mengambilalih MAB dan dijadikan sebahagian AirAsia atau mengekalkan MAB sebagai syarikat penerbangan tambang penuh, merupakan keputusan untuk ditentukan oleh mana-mana pihak yang berminat dengan MAB,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Kadir berkata demikian sebagai mengulas jika AirAsia boleh mengendalikan kedua-dua syarikat penerbangan tambang penuh dan rendah pada masa sama.

Ini susulan cadangan beliau menerusi catatan di Facebook pada Jumaat lepas bahawa “adalah lebih baik untuk MAB ‘berkahwin’ (disatukan) dengan AirAsia daripada sewenang-wenangnya membiarkan jenama ikonik itu berkubur.” Dalam catatannya, Kadir turut membangkitkan bahawa AirAsia pernah ‘berkahwin’ atau bersama dengan Malaysia Airlines sebelum ini – merujuk kepada perjanjian pertukaran saham dua syarikat itu pada 8 Ogos, 2011.
Malangnya, perjanjian itu tidak bertahan lama apabila ditamatkan lapan bulan kemudian.
Kadir berpendapat, perjanjian MAB-AirAsia itu tidak berjaya kerana cadangan yang tidak jelas selain bedepan banyak bantahan daripada pihak awam.
“Namun itu berlaku beberapa tahun lepas dan keadaan telah berubah. Kita juga telah melihat kerajaan melakukan banyak cubaan untuk memulihkan Malaysia Airlines tetapi malangnya, ada persepsi ramai bahawa MAB tidak dapat dipulihkan dan sesuatu perlu dilakukan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Tan Sri Tony Fernandes sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya tidak merancang untuk membeli MAB kerana berhasrat melakukan usaha transformasi sebagai sebuah syarikat yang diterajui oleh teknologi.
Mengulas sama ada ‘perkahwinan’ atau penyatuan AirAsia dan MAB akan mencetuskan kebimbangan mengenai monopoli dalam industri penerbangan tempatan, Kadir berkata akan wujud elemen monopoli atau duopoli antara AirAsia dan Malindo Airways dalam masa terdekat ini.
Sementara itu, penganalisis yang juga Penganalisis Penerbangan Endau Analytics, Shukor Yusof, pula berpendapat Fernandes tidak mungkin mengambilalih MAB pada masa ini.
Topik mengenai kemungkinan penjualan MAB kembali hangat dan menjadi tajuk utama media selepas Dr Mahathir yang juga Pengerusi Khazanah, menyatakan kesediaan Malaysia menjual syarikat penerbangan itu sekiranya terdapat tawaran baik untuk syarikat itu. – Bernama