Sunday, March 30, 2025
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    AirAsia sahkan tiada kebakaran enjin pada penerbangan AK128

    SEPANG, 27 MAC – AirAsia mengesahkan tiada kebakaran enjin berlaku pada penerbangan AK128 yang melakukan pendaratan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 2) tengah malam tadi, kira-kira dua jam setelah berlepas.

    Menurut kenyataan hari ini, AirAsia memaklumkan penerbangan AK128 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Shenzhen, China kelmarin, terpaksa berpatah balik berikutan masalah teknikal pada satu daripada enjin yang mencetuskan isyarat luar biasa.

    “AirAsia mengesahkan tiada kebakaran enjin berlaku.

    “Hasil pemeriksaan mendapati isyarat itu berpunca daripada masalah kerosakan saluran udara atau duct yang menyebabkan udara panas dilepaskan, memerlukan pesawat itu kembali ke pangkalan untuk dibaiki. Pesawat itu dijangka beroperasi semula pada 31 Mac ini,” menurut kenyataan itu.

    AirAsia memaklumkan sepanjang kejadian terbabit, juruterbang mengikuti prosedur ditetapkan dan memohon keutamaan pendaratan untuk memastikan keselamatan semua penumpang dan anak kapal.

    “Pesawat itu mendarat tanpa sebarang insiden di KLIA Terminal 2 pada 12:06 tengah malam dan kesemua 171 penumpang serta enam anak kapal turun dengan selamat dan mereka dipindahkan ke pesawat lain yang berlepas pada 3:46 pagi.

    “Penerbangan gantian itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzhen Bao’an pada 7:51 pagi, hari ini,” menurut kenyataan itu.

    Gambar fail Bernama

    Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Operasi Penerbangan) AirAsia Aviation Group Datuk Kapten Chester Voo dalam kenyataan sama berkata tiada kebakaran enjin berlaku pada pesawat terbabit seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

    “Kru penerbangan bertindak pantas dan mengambil langkah sewajarnya mengikut protokol keselamatan dan operasi yang ditetapkan.

    “Juruterbang dan anak kapal dilatih dengan baik untuk mengendalikan situasi seperti ini dan pesawat mendarat dengan selamat serta tiada kejadian lain berlaku selepas prosedur berkaitan dilakukan,” katanya.

    Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak Malaysia Airports, pasukan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) dan pihak berkuasa keselamatan berkaitan atas kerjasama dan tindak balas pantas.

    “Kami juga berterima kasih kepada penumpang AK128 atas kesabaran dan pemahaman mereka dan memastikan penerbangan gantian segera disediakan untuk menyambung perjalanan mereka.

    “Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan kami dan AirAsia komited dalam mengekalkan standard keselamatan tertinggi bagi memastikan kesejahteraan penumpang dan kru pada setiap masa,” kata Voo.

    Terdahulu, media tempatan melaporkan penerbangan AirAsia dalam perjalanan ke Shenzhen terpaksa berpatah balik ke KLIA Terminal 2 sejurus berlepas dipercayai akibat kebakaran enjin. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda