Wednesday, April 23, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    AirAsia X catat 80 peratus PLF

    KUALA LUMPUR, 24 Okt – AirAsia X Bhd mencatat faktor muatan penumpang (PLF) sebanyak 80 peratus pada suku ketiga 2018 dengan jumlah penumpang meningkat satu peratus tahun ke tahun kepada 1,511,625 penumpang.

    Ia berkata, syarikat itu menyaksikan peningkatan menggalakan dalam muatan penumpang selepas pilihan raya umum dan berjaya menangani kesan daripada bencana alam di Indonesia, Jepun dan Hawaii.

    Kapasiti Tempat Duduk Tersedia Bagi Setiap Kilometer (ASK) AirAsia X Malaysia merosot empat peratus kepada 8,806 juta disebabkan penempatan semula kapasiti ke rantau Asia Utara berikutan pengurusan kapasiti di Australia pada Februari 2018 dan penamatan laluan Tehran pada suku lepas, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, pada suku tahun yang dkaji, terdapat peningkatan kekerapan penerbangan bermusim untuk destinasi terpilih di Australia (Melbourne, Perth dan Sydney) pada Julai disebabkan musim cuti di Australia, manakala kekerapan ke Honolulu ditingkatkan kepada penerbangan harian berikutan permintaan yang lebih kukuh.

    Kekerapan penerbangan ke Osaka ditukar kepada penerbangan harian untuk menampung kekerapan harian penerbangan ke Honolulu, sementara pengurusan kapasiti dilaksanakan di Sapporo, Seoul dan Taipei berikutan pemintaan yang lemah pada suku tersebut, tambahnya.

    “Bagi Kathmandu, kekerapan dikurangkan secara beransur-ansur menjelang penamatan laluan itu pada Oktober 2018 ketika kami memberi tumpuan kepada dominasi pasaran di negara-negara teras kami,” kata kumpulan itu.

    Ia berkata, AirAsia X Malaysia juga telah memulakan penerbangan ke Amritsar pada Ogos, bandar raya ketiganya di India dan menamatkan penerbangan ke Maldives pada September serta memindahkan Kaohsiung kepada AirAsia Malaysia.

    Jumlah pesawat AirAsia X Malaysia kekal pada 22 Airbus A330 pada akhir September 2018, katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda