SEPANG, 28 Ogos – Laporan tahunan syarikat AirAsia X Berhad 2016 telah memenangi dua anugerah emas tertinggi iaitu Laporan Tahunan Bukan Tradisional Terbaik (Penerbangan) dan Produksi dan Penerbitan (Penerbangan) di Anugerah Pertandingan Laporan Tahunan Antarabangsa buat julung kalinya diadakan di sini.
Syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu juga merangkul perak bagi kategori Foto Muka /Reka bentuk (Penerbangan).
Laporan tahunan yang bertemakan “Realising Dreams” (Merealisasikan Impian), menampilkan muka depan yang sukar dilupakan dengan tiga orang kanak-kanak comel – seorang kanak-kanak lelaki memakai pakaian seragam juruterbang, seorang kanak-kanak perempuan memakai pakaian seragam krew kabin dan seorang lagi kanak-kanak lelaki memakai pakaian biasa dengan pas masuk pesawat seperti seorang penumpang, di mana konsep muka depan Laporan Tahunan ini bertujuan untuk memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk berusaha merealisasikan impian mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata, “Saya berbangga dengan usaha pasukan jabatan perhubungan pelabur yang diketuai oleh Hanif Idrose dan kesemua Allstars diiktiraf. Ia adalah satu pengiktirafan untuk semangat gigih dan usaha keras mereka. Pasukan yang telah bersama-sama menghasilkan penerbitan laporan tahunan ini telah melaksanakan kerja yang amat mengagumkan untuk melambangkan budaya kerja di AirAsia X dan kakitangannya. Syabas diucapkan kepada mereka dan kesemua ahli keluarga AirAsia X. Saya yakin dengan dedikasi dan semangat yang telah dipaparkan itu, kita akan terus mencapai ke mercu tanda yang baru.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail pula berkata, “Anugerah emas dan perak yang kita menangi ini adalah penghormatan yang amat bermakna buat kita. Ia menjadi bukti kukuh dan pengiktirafan kepada komitmen syarikat penerbangan ini ke arah merealisasikan impian kami untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada kesemua tiga bilion orang di wilayah Asia Pasifik, dari Negara China, Jepun dan Korea ke Australia, merentasi ke Timur Tengah dan malahan kini ke Amerika.”
Mengulas lanjut tentang konsep laporan tahunan tersebut, ujar Benyamin, “Foto muka depan tersebut adalah mengenai aspirasi kanak-kanak yang mampu mengatasi segala kemungkinan kehidupan dan bagaimana AirAsia X merupakan penjana impian bagi kesemua warga Allstars (staf) yang berusaha menjadikan cetusan idea dan minat kepada realiti.
“Agak berbeza dengan konsep tradisional yang biasanya hanya menonjolkan kakitangan krew kabin di muka depan bagi sesebuah laporan tahunan, ianya juga adalah satu usaha yang meraikan pencapaian impian di sepanjang tahun 2016, di samping menyampaikan maklumat tepat dan jelas mengenai syarikat dengan lebih kreatif dan efektif kepada pihak berkepentingan, pemegang saham dan juga pelabur.”