Tuesday, May 6, 2025
30.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    AirAsia X perkenalkan destinasi Hawaii

    OSAKA, Jepun, 10 Feb – Hawaii kini menjadi destinasi perkhidmatan terbaharu AirAsia X dengan penerbangan sulungnya akan dilancarkan pada 28 Jun depan.

    Sebanyak empat penerbangan mingguan ditawarkan bagi laluan Kuala Lumpur ke Honolulu, Hawaii menerusi Osaka, Jepun.

    Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Kamarudin Meranun berkata bersempena pelancaran itu, syarikat penerbangan berkenaan menawarkan tambang promosi serendah RM499 (sehala termasuk tambang dan cukai) bagi kelas ekonomi dan kelas premium katil rata serendah RM2,999 pada 11-26 Februari, 2017 bagi perjalanan mulai 28 Jun, 2017 sehingga 6 Feb, 2018.

    “Ini merupakan destinasi pengubah yang kami sememangnya nantikan. Usaha menghubungkan ASEAN dan Asia Utara dengan Amerika Syarikat menerusi tambang rendah ini membolehkan kami merealisasikan impian mereka yang selama ini mengimpikan percutian merentasi kawasan Pasifik.

    “Kami amat berterima kasih kepada semua pihak berkuasa dan kerajaan yang terbabit memberi sokongan.

    AirAsia X kini memperkenalkan penerbangan ke Hawaii bermula 28 Jun depan. – AFP
    AirAsia X kini memperkenalkan penerbangan ke Hawaii bermula 28 Jun depan. – AFP

    “Keyakinan mereka itu membolehkan pelancaran laluan penerbangan unik ini menjadi kenyataan. Kami akan terus bekerjasama erat dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan lebih banyak kesalinghubungan orang ramai menerusi laluan antara benua ini,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran laluan itu di sini, hari ini.

    Sidang media itu turut dihadiri oleh CEO AirAsia X Bhd Benyamin Ismail, Wakil Pengarah dan CEO Bersama Kansai Airports Emmanuel Menanteau, Naib Presiden Pelancongan Hawaii di Jepun Mitsue Varley serta Ratu Cantik Hawaii, Allison Chu.

    Dalam satu kenyataan, AirAsia X berkata penumpang yang melakukan transit selama dua jam di Osaka, tidak memerlukan visa dikeluarkan pihak berkuasa Jepun dan boleh kembali ke tempat duduk masing-masing selepas melepasi prosedur keselamatan.

    Bagi penumpang yang mahukan perancangan perjalanan lebih fleksibel, boleh membuat pilihan pelbagai bandar dan menghabiskan masa beberapa hari di Osaka sebelum meneruskan perjalanan ke Honolulu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda