VILNIUS, 6 NOV – Syarikat penerbangan Latvia, airBaltic akan mengawalkan waktu berlepas bagi dua penerbangan mulai 20 November susulan beberapa insiden melibatkan belon digunakan untuk penyeludupan yang menjejaskan operasi di lapangan terbang Lithuania.
Jurucakap syarikat itu memberitahu Baltic News Service (BNS) kelmarin bahawa keputusan berkenaan diambil bagi mengurangkan risiko operasi serta memastikan perkhidmatan yang selamat dan boleh dipercayai.
Dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, operasi di Lapangan Terbang Vilnius telah beberapa kali digantung, manakala Lapangan Terbang Kaunas turut terjejas sekali, berikutan penampakan belon penyeludupan yang menjejaskan lebih 160 penerbangan serta lebih 22,000 penumpang. Kebanyakan gangguan berlaku pada waktu malam, khususnya selepas pukul 8 malam waktu tempatan.
Mulai 20 November, penerbangan dari Krakow akan tiba di Lapangan Terbang Vilnius pada 5:40 petang waktu tempatan berbanding selepas tengah malam ketika ini manakala penerbangan dari Munich akan tiba pada 6:55 petang, lebih awal daripada jadual asal 10:15 malam. – Bernama


