Airbnb saksi lonjakan perjalanan domestik

KUALA LUMPUR, 2 JULAI – Airbnb, penyedia perkhidmatan penginapan dalam talian global, menyaksikan peningkatan ketara dalam tempahan domestik di Malaysia, melonjak hampir 190 peratus bulan ke bulan.

Dalam satu kenyataan, ia berkata dalam tempoh 30 hari lepas, 93 peratus daripada jumlah tempahan yang dibuat di Airbnb ialah untuk destinasi domestik.

“Ini selaras dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan pergerakan rentas negeri, sekali gus telah menyaksikan tumpuan bertukar ke arah pelancongan domestik sebagai pemacu utama bagi pemulihan dalam sektor ini.

“Walaupun industri pelancongan telah terjejas oleh COVID-19, data dalaman Airbnb menunjukkan tanda-tanda positif bahawa pelancongan telah bangkit semula, didahului trend yang akan mencorakkan hala tuju pelancongan dalam beberapa minggu dan bulan akan datang,” katanya.

Berdasarkan data tempahan terkini, destinasi domestik paling popular sepanjang 30 hari lepas di Malaysia termasuklah Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang. Destinasi bukan bandar turut dikunjungi seperti Cameron Highlands, Kuala Terengganu, Port Dickson dan banyak lagi dengan hampir 64 peratus tempahan.

Walaupun dunia sedang mengalami pengurangan pelancongan, Airbnb berkata ia masih berpotensi menjana berbilion dolar untuk ekonomi domestik. – Bernama