PARIS, 26 SEPT – Syarikat gergasi Aeroangkasa Eropah Airbus telah lama berdepan dengan beberapa serangan oleh penggodam yang menyasarkan pembekalnya untuk memperoleh maklumat secara tidak sah, kata sumber kepada AFP.
AFP bercakap kepada tujuh sumber keselamatan dan industri, yang kesemua mengesahkan serangan sejak 12 bulan yang lalu tetapi tidak mahu didedahkan kerana sifat sensitif maklumat yang mereka kongsi.
Dua sumber keselamatan yang terlibat dalam menyiasat penggodaman berkata terdapat empat serangan besar.
Airbus telah lama dianggap sebagai sasaran menarik kerana teknologi canggih yang menjadikannya salah sebuah pengeluar pesawat komersil terbesar di dunia, serta pembekal ketenteraan strategik.
Pada bulan Januari, ia mengakui kejadian keselamatan yang ‘mengakibatkan akses tidak sah kepada data’, tetapi orang yang mengetahui serangan itu menggariskan operasi yang bersepadu dan jauh lebih besar sepanjang tahun lepas.
Sumber AFP mengatakan bahawa penggodam mensasarkan pembuat mesin British Rolls-Royce dan perunding teknologi dan pembekal Expleo, serta dua kontraktor Perancis lain yang bekerja untuk Airbus yang tidak dapat dikenal pasti AFP.
Airbus tidak segera menjawab permintaan untuk komen.
Jurucakap Rolls-Royce enggan memberi komen mengenai spesifik sebarang serangan tetapi berkata: “Kami mempunyai pengalaman percubaan untuk mendapatkan akses ke rangkaian kami dan kami mempunyai pasukan pakar yang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan bahawa kami memerangi percubaan dan meminimumkan apa-apa kesan yang berpotensi. ” – AFP
