PARIS, 23 OKT – Airbus, Thales dan syarikat Itali, Leonardo hari ini mengumumkan mereka akan menggabungkan perniagaan satelit dan ruang angkasa masing-masing bagi mewujudkan sebuah pemain utama Eropah dalam industri strategik yang semakin penting itu.
Butiran kewangan mengenai penggabungan tersebut tidak didedahkan, namun langkah itu dibuat ketika syarikat seperti Starlink milik Elon Musk dan Project Kuiper milik Amazon sedang berlumba-lumba melancarkan rangkaian satelit untuk perkhid-matan internet dan lain-lain.
Ketiga-tiga syarikat itu berkata tujuan penggabungan tersebut adalah ‘untuk memperkukuh autonomi strategik Eropah dalam bidang angkasa lepas, satu sektor utama yang menyokong infrastruktur dan perkhid-matan penting berkaitan telekomunikasi, navigasi global, pemerhatian bumi, sains, penerokaan serta keselamatan negara.’
Penggabungan itu tidak termasuk pelancar angkasa seperti roket Ariane milik Airbus.
Pendapatan tahunan bagi kumpulan baharu itu dianggarkan bernilai AS$7.5 bilion berdasarkan operasi semasa, dengan tempahan terkumpul bersamaan dengan jualan lebih tiga tahun.
Sekiranya mendapat kelulusan pihak berkuasa kawal selia, syarikat baharu itu dijangka beroperasi pada 2027, dengan Airbus memegang pegangan sebanyak 35 peratus manakala Thales dan Leonardo masing-masing memiliki 32.5 peratus.
Ketiga-tiga syarikat berkenaan membina, melancarkan dan menyelenggara pelbagai satelit telekomunikasi yang akan menjadi asas kepada pembangunan rangkaian berkelajuan tinggi di seluruh dunia.
“Kerjasama ini sejajar dengan aspirasi kerajaan-kerajaan Eropah untuk memperkukuh aset perindustrian dan teknologi mereka, sekali gus memastikan autonomi Eropah dalam bidang strategik angkasa lepas dan pelbagai aplikasinya,” menurut kenyataan bersama Ketua Pegawai Eksekutif ketiga-tiga syarikat tersebut.
Perancis, bersama Jerman dan Sepanyol yang memiliki pegangan minoriti dalam Airbus, menyifatkan perjanjian itu sebagai ‘berita yang amat baik’. – AFP

