Sunday, July 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ais Greenland cair 17 kali lebih pantas

    COPENHAGEN, 11 JUN – Lapisan ais di Greenland mencair 17 kali lebih pantas berbanding purata sebelumnya semasa gelombang haba pada bulan Mei yang turut melanda Iceland, menurut laporan rangkaian saintifik World Weather Attribution (WWA) hari ini.

    Wilayah Artik berada di barisan hadapan dalam perubahan iklim global, dengan kadar pemanasan empat kali lebih pantas daripada seluruh planet sejak 1979, menurut satu kajian pada 2022 yang diterbitkan dalam jurnal sains, Nature.

    “Kadar pencairan lapisan ais Greenland — berdasarkan analisis awal, sebanyak 17 kali ganda — bermakna sumbangan lapisan ais ini kepada kenaikan paras laut adalah lebih tinggi berbanding jika tiada gelombang haba ini,” kata salah seorang penulis laporan itu, Profesor Madya Friederike Otto, pakar sains iklim dari Imperial College London kepada para wartawan.

    “Tanpa perubahan iklim, ini tidak mungkin berlaku,” katanya.

    Di Iceland, suhu melebihi 26 darjah Celsius pada 15 Mei — sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini untuk masa tersebut di pulau subartik itu.

    Ais laut mencair pada 23 April 2024 berhampiran Ittoqqortoormiit, Greenland Timur. – AFP

    “Suhu di Iceland seperti yang diperhatikan pada Mei ini mencatatkan rekod tertinggi, lebih 13 darjah Celsius lebih panas berbanding purata suhu maksimum harian bulan Mei bagi tempoh 1991–2020,” menurut WWA.

    Pada bulan Mei, 94 peratus daripada stesen cuaca di Iceland merekodkan suhu tertinggi dalam sejarah, menurut institut meteorologi negara itu.

    Di Greenland timur, hari paling panas semasa gelombang haba mencatatkan suhu kira-kira 3.9 darjah Celsius lebih tinggi berbanding suhu purata iklim praindustri, kata WWA.

    “Walaupun gelombang haba sekitar 20 darjah Celsius mungkin tidak kedengaran sebagai peristiwa ekstrem bagi kebanyakan orang di dunia, ia sebenarnya memberi kesan besar di kawasan ini,” kata Otto.

    “Ia memberi impak besar kepada seluruh dunia,” tambahnya.

    Menurut WWA, suhu tertinggi yang direkodkan di Iceland dan Greenland pada bulan Mei ini boleh berulang setiap 100 tahun.

    Bagi komuniti orang asli di Greenland, suhu yang semakin panas dan pencairan ais menjejaskan keupayaan mereka untuk memburu di atas ais, sekali gus mengancam sumber mata pencarian dan cara hidup tradisional mereka.

    Perubahan tersebut turut menjejaskan infrastruktur di kedua-dua negara.

    “Di Greenland dan Iceland, infrastruktur dibina untuk cuaca sejuk. Maka semasa gelombang haba, pencairan ais boleh menyebabkan banjir dan merosakkan jalan raya serta kemudahan awam,” kata WWA. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda