AIS KRIM yang mempunyai rasa pedas mungkin sahaja kedengaran pelik, namun apabila membicarakan mengenai Respiro del Diavolo (Nafas Hantu), ia dianggap suatu kenyataan yang kurang dipercayai.
Dibuat menggunakan pelbagai jenis cili pedas, hidangan istimewa ini telah memperolehi markah sebanyak 1.5 juta unit pada skala kepedasan Scoville, menjadikannya sebagai ais krim paling merbahaya di dunia.
Respiro del Diavolo telah dibawa ke Glascow, Scotland oleh Martin Bandoni, pemilik Aldwych Cafe dan Ice Cream Parlor, tetapi dia menyatakan bahawa resipi itu telah dirahsiakan di kalangan pembuat gelato Itali selama berabad-abad lamaya. Ia telah digunakan sebagai satu ujian keberanian pada perhimpunan tahunan di kalangan pedagang-pedagang tersebut. Namun buat Bandoni, dia berpendapat bahawa ais krim ini boleh sahaja menjadi hit apabila dikomersialkan, jadi dia pun meletakkan hidangan itu pada menu ais krimnya di Glasgow. Setakat ini, sambutannya adalah begitu menggalakan, apabila pengunjung dari seluruh United Kingdom telah berkunjung ke sana untuk merasai hidangan pedas membara ini.
“Ia bermula di Itali,” kata Lee Bandoni, abang Martin. “Terdapat sebuah tempat yang dipanggil sebagai ‘Jambatan Hantu’ dan kerana itu, keluarga ais krim Itali akan membuat perkumpulan mereka setahun sekali di sana dan berbincang mengenai perkhabaran mereka. Pada ketika itu, jika ada lelaki yang ingin menunjukkan keberanian mereka, maka mereka perlulah memakan ais krim ini. Maka sempena Jambatan Hantu ini, mereka menggelar ais krim ini sebagai ‘Nafas Hantu’.”


“Setiap tahun ia masih diadakan,” tambah Lee. “Resipi ini sangat rahsia, hanya beberapa daripada kami sahaja yang mengetahuinya dan apabila tepat pada masanya, anak-anak Martin akan pergi ke Itali dan mempelajari resipi ini dan mengetahui bahan-bahannya.”
Sekiranya anda tertanya-tanya tentang betapa pedasnya ais krim Respiro del Diavolo ini, ia dinilai pada tahap 1,569,300 SHU pada skala Scoville. Untuk rujukan, Carolina Reaper Pepper, hingga kini adalah lada yang paling pedas di dunia, yang mana berada pada tahap antara 1.4 juta dan 2.2 juta unit. Itu adalah cukup pedas buat Bandoni. Pelanggan yang ingin menikmati hidangan ini perlulah berusia 18 tahun keatas dan menandatangani satu dokumen sebelum mencubanya.
“Ia sangat pedas. Jika anda menyukai cili, anda akan menyukainya di samping rasa aneh kerana ais krim bersifat sejuk, namun perasanya pula pedas yang sangat ekstrim,” kata Martin Bandoni. “Fikiran anda akan tertipu apabila anda menikmatinya. Bahan-bahannya diperolehi dari bahan tempatan, namun cili khasnya adalah sebahagian daripada resipi rahsianya berasal dari Itali. Kami sedang menguji sejauh mana orang menyukainya, jadi kami hanya membuatnya dalam kuantiti yang terhad. Maklum balas yang diterima adalah positif.” – Agensi