TOKYO, 22 APRIL – Tahap ais kutub di Lautan Artik menyusut pada musim sejuk 2025 ke tahap terkecil sejak pengukuran bermula pada 1979.
Menurut Agensi Berita Qatar, Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA) mengumumkan bahawa tahap maksimum litupan ais Lautan Artik adalah yang terkecil pada 2025 dalam tempoh lebih empat dekad, memperbaharui rekod yang dicatat lapan tahun lalu.
Para saintis di JAXA dan Institut Penyelidikan Kutub Kebangsaan (NIPR) menggunakan satelit ‘Shizuku’ untuk memantau ais di Artik.
Pengukuran menunjukkan bahawa keluasan maksimum liputan ais untuk tahun ini dicapai pada 20 Mac lalu, iaitu sebanyak 13.79 juta kilometer persegi.
Angka itu adalah 130,000 kilometer persegi lebih kecil daripada rekod sebelumnya pada 2017, dan yang terkecil dalam rekod berdasarkan data yang tersedia dari 1979.
Peta yang disediakan oleh laporan itu menunjukkan bahawa keluasan ais laut pada 2017 jauh lebih rendah daripada paras 2012 dan purata untuk dekad kedua abad ke-21.
Garis keluasan ais 2025 juga didapati lebih kecil daripada 2017. Walaupun purata 2017 lebih rendah, keluasan ais 2025 adalah lebih rendah 130,000 kilometer persegi, menjadikannya yang terkecil sejak 1979.
Presiden JAXA, Hiroshi Yamakawa berkata bahawa fenomena ini berkaitan dengan perubahan iklim, melahirkan kebimbangan bahawa ia akan menjejaskan cuaca dan persekitaran marin. – Bernama/Qna
