Sunday, December 1, 2024
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aiskrim malaysia tetap jadi pilihan

    Gambar Bernama

    KUALA LUMPUR – Dibungkus dalam plastik berbentuk silinder, berwarna-warni dan pelbagai perisa, aiskrim Malaysia kekal menjadi pencuci mulut kegemaran dan pilihan warga Malaysia yang ‘tak lapok dek hujan tak lekang dek panas’.

    Jika dulu hanya beberapa perisa seperti asam boi, jagung dan bandung ditawarkan, kini pelbagai perisa tambahan dengan campuran pelbagai bahan lain seperti vanila coklat, onde-onde gula melaka dan laici sakura turut menambat hati penggemar.

    Bagi usahawan aiskrim Malaysia, Nur Mala Amin, 36, perisa magnum peanut, bluemint dan durian antara yang istimewa daripada 19 perisa ditawarkan dan mendapat permintaan tinggi daripada pelbagai lapisan masyarakat.

    “Tiga perisa istimewa ini dijual pada harga RM2.50 kerana kualiti bahan yang digunakan dan proses pembuatannya lebih rumit, namun terdapat sembilan perisa lain yang tidak kurang enaknya seperti ‘choki-choki’, sumi, teh hijau, laici, strawberi dan anggur yang masing-masing dijual pada harga RM1.50 dan RM1.00 sebatang.

    “Kebanyakan pelanggan tertarik untuk membeli aiskrim ini kerana teringat nostalgia zaman kanak-kanak. Walaupun terdapat pelbagai jenis aiskrim lain di pasaran, aiskrim Malaysia tetap mempunyai keistimewaan tersendiri,” katanya kepada Bernama.

    Aiskrim Malaysia berperisa teh hijau telah siap dibekukan di dalam mesin pembeku khas di kedai milik usahawan Nur Mala Amin di Danau Kota.
    Nur Mala Amin, 36, menunjukkan beberapa aiskrim Malaysia berwarna-warni yang telah siap dibungkus dalam plastik berbentuk silinder.
    Aiskrim Malaysia berperisa teh hijau telah siap dibekukan di dalam mesin pembeku khas.
    Aiskrim Malayisa dibungkus dalam plastik berbentuk silinder, berwarna-warni dan pelbagai perisa.
    Nur Mala Amin menunjukkan cara beliau membuat aiskrim sebelum ia dibekukan dan seterusnya sedia untuk dijual kepada para penggemar aiskrim.

    Beroperasi dari rumah sejak 2017, Mala yang dibantu dua pekerjanya kekal menggunakan kaedah tradisional dalam menghasilkan lebih 100,000 batang aiskrim sebulan.

    “Peralatan yang digunakan juga masih sama seperti proses menghasilkan aiskrim Malaysia dahulu iaitu menggunakan jag dan corong untuk memasukkan adunan ke dalam beg plastik, dan proses paling rumit adalah mengikat plastik dalam menghasilkan saiz sama,” katanya yang mula berniaga aiskrim selepas perniagaan suaminya terjejas.

    Menerusi jenama Akak Aiskrim Malaysia, ibu anak tiga ini sudah boleh berbangga kerana mampu membuka sebuah kedai dan kiosk di Danau Kota, Setapak di sini pada 2019 hingga mampu menjana pendapatan lima angka.

    Seorang lagi usahawan, Nurul Wahida Rosli, 36, yang juga suri rumah turut menjadikan perniagaan aiskrim Malaysia sebagai sampingan bagi membantu suami menambah pendapatan keluarga.

    Bukan sahaja membantu menambah pendapatan , Nurul Wahida berkata perniagaan itu juga menyediakan masa bekerja lebih fleksibel bagi membolehkannya menumpukan perhatian kepada dua anak yang semakin membesar.

    Menurut Nurul Wahida walaupun terdapat pelbagai jenis aiskrim di pasaran, aiskrim Malaysia ternyata masih mendapat tempat kerana harganya yang murah, segar dan mudah dimakan tanpa mengira tempat.

    “Saya terima tempahan lebih 1,000 batang sebulan dan antara perisa yang paling digemari kanak-kanak adalah choki choki, rainbow, oreo dan milo.

    “Orang dewasa pula lebih gemar memilih perisa bersifat masam manis seperti asam boi lemon dan nanas,” katanya.

    Nurul Wahida yang mengusahakan perniagaan itu bersama ibunya, turut berkongsi perbezaan permintaan aiskrim tersebut dahulu dan kini.

    “Kalau dulu kanak-kanak yang akan datang ke rumah untuk beli, berbeza sekarang ibu bapa pula yang datang dan biasanya akan beli dalam kuantiti yang banyak,” katanya sambil menambah pembelian banyak dibuat untuk tempahan majlis.

    Sementara itu, penggemar pencuci mulut itu, Ahmad Nazrin Rosman, 22, berkata aiskrim Malaysia tetap menjadi pilihannya kerana tekstur dan kesegarannya yang dapat menghilangkan dahaga.

    “Aiskrim lain kadang-kadang cepat muak dengan bahan terlampau berkrim, melekit dan manis,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda