BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MEI – Bersempena dengan Hari Persatuan Telekomunikasi dan Maklumat Sedunia (WTISD) yang diraikan setiap 17 Mei, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) akan mengadakan peraduan gambar Instagram.
Menurut kenyataan yang diterima hari ini, WTISD merupakan satu inisiatif yang disokong Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dengan tujuan untuk menambah kesedaran tentang penggunaan Internet dan teknologi maklumat dan komunikasi lain (ICT) yang boleh dibawa kepada masyarakat dan ekonomi, serta cara-cara merapatkan jurang digital.
WTISD yang membawa tema ‘Accelerating Digital Transformation in Challenging Times’ pada tahun ini berhasrat menekankan peranan pen-ting ICT dalam daya ketahanan masyarakat, dengan menunjukkan bagaimana ahli ITU membabitkan diri dalam aktiviti yang terbukti penting dalam menyelamatkan nyawa dan mengekalkan ekonomi. Selaras dengan tema tersebut, peraduan ini diadakan untuk mempromosi kesedaran awam mengenai WTISD dan pembangunan ICT di Brunei Darussalam.
Peraduan dibuka kepada semua penduduk Brunei Darussalam dengan umur minimum 15 tahun.
Tarikh tutup penghantaran peraduan adalah pada 31 Mei 2021. Semua penyertaan akan disenarai pendekkan di mana pemenang akan diumumkan pada majlis penyampaian hadiah yang diadakan pada tarikh kemudian. Untuk maklumat lanjut sila layari www.aiti.gov.bn.