BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) hari ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pusat Kajian Strategik dan Dasar (CSPS) bagi kerjasama dalam penggubalan dasar dan strategi untuk pembangunan industri digital.
Acara penandatanganan MoU tersebut berlangsung di pejabat AITI di Kampung Anggerek Desa.
MoU tersebut berfungsi sebagai kerangka umum antara AITI dan CSPS untuk mengenal pasti projek akan datang dan inisiatif keuntungan bersama.
AITI dan CSPS bersetuju bahawa usaha kerjasama ini akan mempererat hubungan mereka yang ada dengan memanfaatkan kepakaran dan pandangan masing-masing yang berpotensi memberi peluang untuk dasar strategi yang relevan dalam bidang ICT.
Selain itu juga, kedua-dua agensi tersebut kemudian menandatangani perjanjian untuk memulakan Projek Kajian Pasaran ICT, yang bertujuan untuk mengenal pasti potensi pertumbuhan baru dalam segmen industri digital.
MoU dan perjanjian projek ditandatangani oleh Pemangku Ketua Eksekutif, AITI, Ir. Haji Jailani bin Haji Buntar dan Setiausaha Tetap (Visi, Kewangan dan Kabinet) di Jabatan Perdana Menteri selaku Pemangku Pengarah Eksekutif CSPS, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad.
Turut hadir menyaksikan majlis penandatanganan tersebut ialah Timbalan Ketua Eksekutif (Pembangunan) AITI, Dayang Julianah binti Haji Ali Ahmad dan Ketua Penyelidik, CSPS Dr Diana Cheong.
Penandatanganan perjanjian projek tersebut menandakan permulaan rasmi Kajian Pasaran ICT oleh AITI dan CSPS untuk segmen industri digital yang paling sesuai dan menjanjikan selaras dengan Revolusi Industri 4.0 dan merealisasikan visi Negara Pintar untuk Negara Brunei Darussalam.
