Wednesday, February 12, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    AITI hulur sumbangan $4,000 kepada SMARTER Brunei

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Sebagai usaha berterusan untuk membantu golongan yang memerlukan dan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) telah menyampaikan sumbangan berjumlah $4,000 kepada SMARTER Brunei di Pusat GIFT BACA SMARTER Brunei, kelmarin.

    Sumbangan telah disampaikan oleh Ketua Eksekutif AITI, Ir Haji Jailani bin Haji Buntar kepada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Naib Presiden 1, SMARTER Brunei, Dayang Sharifah Adila Suria binti Malai Haji Abdullah.

    Semasa acara itu, Ir Haji Jailani berpeluang untuk melawat dan diberikan penerangan mengenai kemudahan dan produk-produk yang merupakan hasil bakat dan kemahiran para pelajar pusat berkenaan.

    Pusat itu bermatlamat untuk melahirkan individu autistik yang mampu untuk hidup berdikari.

    Sumbangan itu merupakan hasil daripada acara mengumpul sumbangan dalam kalangan kakitangan AITI yang telah dikendalikan oleh Jawatankuasa Aktiviti Sosial dan Sukan (ASSA) AITI.

    Ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat AITI dan dihasratkan untuk memupuk semangat kerja berpasukan serta menggalakkan kakitangan bagi menabur bakti dan memberi kembali kepada masyarakat.

    AITI amat menghargai sumbangan kakitangannya dalam mengumpul dana dan berharap derma berkenaan akan menyokong SMARTER Brunei dalam usahanya ke arah menyediakan keperluan individu autistik di Negara Brunei Darussalam.

    Ir Haji Jailani menyampaikan sumbangan kepada Dayang Sharifah Adila Suria. – Gambar serahan AITI
    Ir Haji Jailani berpeluang melihat produk-produk yang merupakan hasil bakat dan kemahiran para pelajar pusat berkenaan. – Gambar serahan AITI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda