Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan InfoCom Federation Brunei (IFB) akan menganjurkan Persidangan dan Pameran Masa Depan Digital dengan tema Advancing Technology and Innovation pada 22 dan 23 Jun.
Ia adalah bersempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2023 untuk Minggu Teknologi dan Inovasi.
Acara dua hari yang akan diadakan di Dewan Besar Indera Samudra, The Empire Brunei itu antara lain bertujuan untuk menghubungkan penggiat industri, wakil sektor kerajaan dan swasta serta rakan kongsi dan pakar dalam sektor ICT.
Persidangan akan menyentuh beberapa tajuk yang antaranya mendalami masa depan perkhidmatan digital, kewangan digital, bandar pintar dan mendedahkan trend terkini yang membentuk infrastruktur rangkaian, keselamatan siber dan kemahiran digital.
Di samping itu, persidangan akan turut diisi dan menampilkan penceramah utama antarabangsa dan tempatan serta perbincangan panel dengan pakar industri yang berada di barisan hadapan teknologi, seperti ketua pegawai eksekutif pembekal perkhidmatan telekomunikasi tempatan, wakil kanan dari DXC Technology, Ericsson, Huawei dan Vitronic Machine Vision Asia.
Peserta persidangan akan berpeluang memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang potensi, teknologi terkini dan inovasi dalam mengejar transformasi digital.
Di samping itu, orang ramai yang berkunjung ke pameran itu juga berpeluang meneroka projek utama ICT, demonstrasi langsung dan penyelesaian digital oleh organisasi dan syarikat baharu yang ditubuhkan termasuk ASDS Sdn Bhd, Makmal Inovasi Brunei, Datastream Digital Sdn Bhd (DST), Dynamik Technologies, Unified National Networks Sdn Bhd (UNN), dan lainnya.
Pameran berkenaan dibuka kepada orang ramai dari pukul 9 pagi hingga 5 petang manakala mereka yang berhasrat untuk menghadiri Persidangan Masa Depan Digital, tiket akan mula dijual pada 6 Jun dan dapat diperolehi melalui https://digitalfureconfex.com.
Untuk maklumat lanjut mengenai acara berkenaan, ikuti akaun Instagram rasmi bruneimyce.digitalfure dan pertanyaan lanjut boleh dihantar melalui e-mel kepada digitalfutureconfex@aiti.gov.bn.
Acara berkenaan disokong oleh Kementerian Pengangkutan dan Info-komunikasi (MTIC) dan Pusat Kebangsaan EGovernment (EGNC). AITI dan IFB akan bekerjasama dengan D’Sunlit Sdn Bhd, imagine Sdn Bhd, Mint Sdn Bhd, Progresif Sdn Bhd, dan Recap Sdn Bhd.
Brunei MYCE 2023 dianjurkan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama agensi kerajaan tempatan dan antarabangsa, badan berkanun, institusi pengajian tinggi, pihak berkepentingan dan
agensi swasta.
Ia turut disokong penuh oleh beberapa rakan media rasmi iaitu Radio Televisyen Brunei (RTB), Jabatan Penerangan dan Brunei Press Sdn Bhd (Borneo Bulletin dan Media Permata).