Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Dalam usaha untuk mengumpul data penting mengenai profesional ICT, Pihak Berkuasa bagi Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) selaku Sekretariat Manpower Industry Steering Committee Working Group for ICT Sector (MISC-WG ICT) dengan disokong oleh Manpower Planning Office (MPO), Jabatan Perdana Menteri, telah melancarkan kajian komprehensif kedua seluruh negara mengenai Banci Tenaga Manusia ICT pada 31 Disember 2024.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AITI, di sini, Banci Tenaga Manusia ICT bermatlamat untuk mengumpul data penting mengenai ahli profesional ICT daripada kira-kira 400 perniagaan dalam sektor ICT dan bukan ICT dalam negara.
Menerusi kajian berkenaan, AITI berhasrat untuk mendapatkan gambaran keadaan ahli profesional ICT pada masa ini dan menggunakan data berkenaan untuk membimbing pencari kerja serta perniagaan dalam menetapkan keperluan pekerjaan, pembangunan kemahiran dan keperluan latihan, bidang-bidang keutamaan industri serta unjuran permintaan tenaga manusia ICT pada masa akan datang.
Banci berkenaan telah diagihkan menerusi e-mel kepada penerima terpilih di seluruh negara, dengan tarikh penutup yang dilanjutkan ke 30 April 2025. AITI mengalu-alukan dan menggalakkan perniagaan berdaftar serta ahli-ahli komuniti perniagaan untuk menyokong inisiatif berkenaan dan mengambil bahagian dalam banci itu.
Pihak yang berminat boleh memohon bagi akses kepada banci berkenaan dan menghantar sebarang pertanyaan melalui e-mel, ictmanpowersurvey2024@aiti.gov.bn atau menghubungi, +673 2450710. AITI juga boleh menghantar pembanci untuk membantu perniagaan-perniagaan apabila diperlukan.
AITI adalah komited untuk mengekalkan kerahsiaan semua data yang dikumpul. Kesemua maklum balas hanya akan digunakan bagi tujuan tinjauan berkenaan. Maklumat terperinci mengenai dasar privasi banci boleh didapatkan dalam soal selidik banci berkenaan.
Mereka yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Banci Tenaga Manusia ICT, boleh melayari laman sesawang AITI , www.aiti.gov.bn.
