Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) hari ini telah melancarkan inisiatif baharu yang dikenali sebagai Tech Clinic bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang merupakan platform mendapatkan khidmat nasihat teknikal bagi penggunaan teknologi digital dalam perniagaan mereka.
Selaras dengan objektif strategik Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 dan Pelan Strategik AITI 2020-2025, Tech Clinic bagi PMKS diperkenalkan untuk meningkatkan penggunaan digital dalam kalangan PMKS dengan menilai kesediaan mereka untuk menerima pakai solusi digital dalam perniagaan mereka bagi meningkatkan produktiviti dan inovasi.
Ia juga mempunyai objektif untuk membolehkan perniagaan beroperasi dengan keupayaan digital demi mencapai kecekapan dalaman, pengurangan kos dan penawaran perkhidmatan yang lebih baik untuk kekal berdaya saing dalam ekonomi digital.
Melalui Tech Clinic, PMKS boleh mengambil bahagian dalam sesi konsultasi bersama panel pakar pendigitalan yang dilantik.
Slot konsultasi maya percuma untuk bulan Mac 2022 kini dibuka dan bagi PMKS yang ingin memohon slot konsultasi boleh membuat tempahan melalui https://techclinic.aiti.gov.bn.
Slot adalah terhad dan tertakluk kepada siapa cepat dia dapat. Untuk pertanyaan lanjut, bolehlah menghubungi techclinic@aiti.gov.bn
Tech Clinic diharapkan dapat membantu PMKS untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi penggunaan teknologi dalam operasi perniagaan mereka untuk mencapai pertumbuhan fiskal dan sosio-ekonomi yang mampan.