Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) hari ini telah melancarkan Coding.bn Kohort ke-3 secara rasmi dalam majlis yang diadakan di Dewan Seri Kerna, AITI.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Pengerusi InfoCom Federation Brunei (IFB), Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abd Latif yang juga selaku Ketua Bersama Kumpulan Kerja Jawatankuasa Pandu Industri Tenaga Manusia untuk Sektor ICT (MISC-WG ICT).
Turut hadir ialah ahli-ahli MISC-WG ICT, wakil dari organisasi hos yang berpotensi, dan peserta Coding.bn Kohort ke-3.
Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Penolong Ketua Eksekutif AITI, Awang Norshahrul Nizam bin Othman, diikuti taklimat program yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Mindtrex Academy, Pengiran Khairi bin Pengiran Haji Metussin yang juga sebagai fasilitator program yang dilantik untuk kohort tersebut.
Inisiatif di bawah AITI dan di-sokong oleh MISC-WG ICT, Coding.bn telah dibangunkan sebagai tindak balas kepada peningkatan kebimbangan pengangguran belia di Negara Brunei Darussalam, khususnya dalam sektor ICT.
Program tersebut bertujuan untuk melengkapkan pencari kerja muda dengan kemahiran teknikal dan profesional yang diperlukan untuk memenuhi keperluan industri dan meningkatkan kebolehpasaran mereka.
Peserta Coding.bn Kohort ke-3 berkenaan akan menjalani program berstruktur selama enam bulan, yang terdiri daripada tiga bulan latihan teknikal intensif diikuti dengan tiga bulan latihan sambil bekerja dengan organisasi tuan rumah, disokong oleh bimbingan daripada pakar industri.
Latihan ini menekankan bukan sahaja pengaturcaraan dan kemahiran teknikal, tetapi juga pengalaman hands-on dan pembangunan kemahiran insaniah untuk merapatkan jurang antara pengajian akademik dan tuntutan industri.
Sehingga kini, Coding.bn telah melatih 109 full-stack programmers yang bercita-cita tinggi, yang mana kebanyakan mereka kini bekerja di sektor ICT tempatan.
Membina kejayaan kohort pertama dan kedua, AITI dan MISC-WG ICT kekal komited untuk mengukuhkan lagi bakat ICT dan menyokong pertumbuhan jangka panjang ekonomi digital Brunei.
Ketika Negara Brunei Darussalam semakin maju ke arah menjadi Negara Pintar, permintaan untuk bakat berkemahiran digital, terutamanya dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI) dan analisis data, terus berkembang.
Peningkatan kemahiran program seperti Coding.bn, di samping inisiatif AITI seperti Digital Upskilling Training Programme dan TechXPLORE, adalah kunci untuk membina kumpulan bakat sedia masa hadapan dan menyokong transformasi digital negara.