Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    AITI pelawa organisasi tampilkan produk inovatif ICT

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) mengalu-alukan perniagaan tempatan, organisasi swasta dan awam untuk tampil dengan produk inovatif ICT dan perkhidmatan bagi menyertai Anugerah Digital ASEAN (ADA) 2024.

    AITI dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menjelaskan bahawa ADA 2024 yang sebelum ini dikenali sebagai Anugerah ICT ASEAN (AICTA), telah diadakan setiap tahun sejak 2012 dan telah menganugerahkan pencapaian ICT terbaik dalam kalangan usahawan di seluruh rantau ASEAN.

    Pada tahun ini, ADA 2024 akan dihoskan oleh Singapura dan ia bertujuan menjadi penanda aras untuk kejayaan dalam inovasi dan kreativiti.

    Selain itu, ia menawarkan peluang perkerjaan dan hubungan perdagangan serta berfungsi sebagai platform untuk mempromosikan produk digital ASEAN di peringkat global.

    Anugerah tahun ini telah mengiktiraf inovasi dalam enam kategori iaitu Sektor Awam, Sektor Swasta, Digital Inclusivity, Kandungan Digital, Digital Start-Up dan Inovasi Digital.

    Sehubungan itu, peserta yang berminat dikehendaki menyerahkan butiran mereka dengan video produk tidak melebihi 300MB dan tidak lebih tiga minit dalam format MP4, ke laman web ADA 2024, aseandigitalawards.com.

    Penyerahan penyertaan akan diterima sehingga 28 Ogos tahun ini, manakala tempoh penghakiman awal akan diadakan secara maya dari September hingga Oktober 2023 diikuti dengan pengumuman finalis.

    Majlis anugerah dijadualkan diadakan pada Januari 2024 semasa Mesyuarat Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) ke-4 di Singapura dan untuk maklumat lanjut, boleh e-mel AITI di ict_industry@aiti.gov.bn atau layari aseandigitalawards.com.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda