Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Dengan matlamat untuk menyokong pembelajaran dalam talian khususnya untuk para pelajar semasa krisis kesihatan di negara ini, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) terus menyokong Mindtrex Academy dengan memberikan subsidi bagi 150 akaun Mindtrex Pro di mana pengguna akan dapat mengakses platform pembelajaran dalam talian secara percuma dalam tempoh sebulan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AITI di sini, hari ini, susulan gelombang kedua pandemik COVID-19 di negara ini, Mindtrex Academy telah memulakan inisiatif untuk menyokong para pelajar yang belajar dari rumah selaras dengan garis panduan pembelajaran dalam talian Kementerian Kesihatan.
Mindtrex Academy dibangunkan oleh Mindtrex Academy Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Mindplus Education.
Ia merupakan aplikasi mudah alih pertama ciptaan Brunei yang menyediakan penyelesaian e-pembelajaran berasaskan permainan bagi peringkat pelajar sekolah rendah iaitu kandungan pembelajaran yang bersesuaian khususnya bagi Tahun 4 hingga 6.
Aplikasi berkenaan juga tidak lama lagi akan menawarkan kandungan untuk pelajar Tahun 1 hingga 3.

Kenyataan menjelaskan, aplikasi berkenaan dilengkapi dengan ciri pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan, termasuk adanya elemen-elemen gamification, live leader board dan sistem ganjaran yang boleh ditebus.
Aplikasi berkenaan, tambah kenyataan, terbukti telah berjaya membantu para pelajar sekolah rendah di negara ini dengan peningkatan prestasi sehingga 131 peratus di mana mereka dapat menikmati pembelajaran dan pengalaman yang begitu bernilai, lebih-lebih lagi adanya sukatan isi kandungan pelajaran yang bersesuaian sejajar dengan Kementerian Pendidikan.
Dalam pada itu, Mindtrex Academy turut membantu pertumbuhan akademik kanak-kanak dalam pengetahuan mata pelajaran teras dengan akses ke lebih 15,000 soalan dan jawapan.
Dengan adanya bantuan teknologi baharu dalam aplikasi berkenaan yang berasaskan data dan membentuk tingkah laku, pastinya kandungan berkualiti dapat disampaikan kepada pengguna dengan cara yang lebih efisien.
Kenyataan turut menyatakan bahawa Mindtrex Academy telah berjaya mengumpulkan hampir 3,000 pengguna berdaftar sejak dilancarkan pada Ogos 2020 dan kini meningkat secara progresif disebabkan situasi pandemik kini yang lebih kepada keperluan pengamalan e-pembelajaran.
Manakala itu versi penuh Mindtrex Academy pula telah dilancarkan pada 22 Februari lalu.