Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aizat Amdan guna podcast dekatkan diri dengan peminat

    Penyanyi dan komposer Aizat Amdan tampil dengan siaran podcastnya sendiri sebagai cara mendekatkan diri dengan peminat.

    Aizat atau Muhammad Aizat Amdan, 35, berkata, idea tampil dengan Dari Studio Podcast bukan sahaja kerana ingin mengikut trend semasa tetapi ingin berkongsi tentang pengalaman dalam dunia seni dengan peminat.

    Tidak hanya memberi fokus diri sendiri, Aizat memberitahu dia juga ada menjemput tetamu seperti Haqiem Rusli, Amylea Azizan, Aziz Harun dan Aepul Roza berkongsi pengalaman.

    “Idea mewujudkan siaran podcast ini timbul dengan niat untuk lebih dekat dengan peminat dan pendengar. Tambah pula tidak lama lagi saya akan melancarkan album baru. Sebelum ini ramai tanya macam mana saya buat lagu. Jadi saya terfikir kongsi perkara itu menerusi podcast. Baru-baru ini kita ada undang beberapa tetamu termasuk penulis lagu seperti Aepul Roza, Aziz Harun, Haqiem Rusli, Amylea Azizan dan penonton dapat mengetahui proses penulisan lagu kami,” katanya kepada mStar.

    Dalam pada itu, Aizat menyifatkan kewujudan siaran podcast ini sebagai satu transisi baharu untuk masyarakat menimba ilmu.

    Menurut Aizat, dia menganggap platform digital berkenaan umpama sebuah buku yang sarat dengan pelbagai ilmu untuk dikongsi.

    “Saya rasa siaran podcast ini umpama membaca buku. Orang dulu kalau nak mencari ilmu akan melalui pembacaan buku tetapi zaman sekarang podcast itu seperti buku daripada penulisnya sendiri. Mereka akan bercakap melalui intipati buku (pengalaman) sendiri dan saya rasa ia sesuatu yang menarik. Sekarang ini pun dunia audio dan visual, semua orang tengok telefon pintar, YouTube, TikTok dan mudah untuk mendapat ilmu,” ujarnya.

    Dalam perkembangan lain, Aizat memohon maaf kepada peminat jika ada yang menganggap dia menyepikan diri dalam industri hiburan.

    Aizat mengakui kurang membuat penampilan terbuka dan hanya berkongsi di media sosial sekiranya mempunyai perkembangan kerjaya.

    “Saya bukan menyepi tapi saya memang suka ‘sepi’. Kalau saya mempunyai produk baharu memang saya akan sering membuat kemunculan. Malah pengikut di media sosial pun sudah tahu yang saya jarang update,” jelasnya. – Agensi

    Aizat (kanan) muncul dengan idea menerbitkan siaran podcastnya di saluran YouTube. – mStar.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda