Sunday, July 7, 2024
22.6 C
Brunei

    -

    Aizat Amdan tak pergi konsert Bruno Mars

    PENYANYI dan komposer Aizat Amdan tidak akan menghadiri konsert Bruno Mars yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 17 September depan.

    Walaupun mengagumi bakat penghibur terkenal itu, Aizat atau Muhammad Aizat Amdan, 35, menganggap itu bukan tiket untuk dia menyokong Bruno yang dikenali sebagai pro-Israel.

    “Bagi saya dia memang seorang penyanyi yang hebat, saya suka lagu dia tapi saya tidak akan tutup mata semata-mata nak pergi ke konsertnya. Saya boleh saja dengar lagu dia tapi sebagai manusia ada batasnya. Takkan kita nak ikut sahaja kalau kita tahu dia adalah individu yang menyokong Israel,” katanya kepada mStar.

    Aizat berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Atas Angin Festival 2024: The Biggest and Loudest! yang diadakan di MyTown pada petang kelmarin.

    Dalam pada itu, Aizat mengingatkan orang ramai untuk tidak menyokong mana-mana individu yang menunjukkan sokongan terhadap Israel.

    Kata Aizat, setiap individu berhak memboikot produk atau individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rejim Zionis itu.

    Aizat bagaimanapun tidak mempertikaikan pemilihan Bruno dalam menganjurkan konsert di Malaysia.

    Tegas Aizat, dia tidak akan hadir memberi sokongan kepada penyanyi berkenaan sebagai tanda solidariti terhadap penindasan dan kekejaman yang berlaku di Palestin.

    “Saya tidak akan menyokong mana-mana individu terlibat dengan peperangan dan penindasan terhadap orang Islam. Ini adalah untuk muhasabah diri saya juga. Saya juga sentiasa berhati-hati dengan apa yang saya pakai, beli dan akan mengenal pasti produk-produk tersebut dari negara mana,” katanya.

    Sebelum ini, konsert Bruno Mars yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil berdepan kontroversi apabila penyanyi berkenaan didakwa merupakan penyokong tegar Israel.

    Susulan itu, terdapat gerakan di media sosial meminta peminat untuk memboikot konsert Bruno di Malaysia. – Agensi

    Aizat pilih tidak pergi ke konsert Bruno Mars yang dijadualkan September ini. – mStar
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sidang Kemuncak SCO alu-alukan keahlian Belarus

    ASTANA, 5 JULAI – Sidang Kemuncak Majlis Ketua-ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-24 yang berakhir kelmarin menyaksikan pencapaian luar biasa, termasuk penerimaan Deklarasi...