Momen bekerjasama dengan penyanyi mencipta nama di Amerika Syarikat (AS), Yuna untuk EP bahasa Inggeris berjudul single The Last Thing tidak mungkin dilupakan penyanyi Aizat Amdan, 34, sampai bila-bila.
Meskipun dalam kesibukan merencanakan kerjaya nyanyiannya di AS, Aizat yang menggunakan nama pentas Ai.Z untuk pasaran global terharu penyanyi yang baru sahaja menerima trofi Anugerah Eksplorasi Seni, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-35 itu masih sempat meluangkan masa untuknya sehingga tercetusnya EP dalam bahasa Inggeris.
Maka, tidak hairan, kata Aizat, Yuna layak menerima pengiktirafan daripada penganjur ABPBH 35 kerana tidak bersikap mementingkan diri, sebaliknya sanggup membantu rakan penyanyi mencipta kejayaan sepertinya.
“Dunia muzik sebenarnya satu persaingan, tetapi saya bertuah dapat cari teman baik yang sudah dianggap seperti keluarga. Saya hargai perjuangan Yuna yang sangat serius mencipta nama peringkat antarabangsa.
“Selalunya, apabila bergerak sebagai penyanyi solo, kita hanya fikir pasal diri sendiri dan tidak pernah ingat orang lain.
“Namun, saya kagum dan terhutang budi bila penyanyi ternama seperti Yuna sanggup bimbing dan bantu bantu saya dalam melebarkan sayap tembusi pasaran AS.
“Saya sanggup buat apa sahaja untuk Yuna. Apabila penganjur ABPBH 35 minta saya menyanyi segmen khas buat Yuna, saya terus bersetuju kerana ini salah satu cara saya balas budi dan hargai kawan saya,” katanya kepada BH Online.
Bercerita mengenai kerjaya seninya, Aizat baru saja melancarkan single baharu berjudul Hadiahkan Duka Kepadaku.
Akui Penyanyi Lelaki Popular, ABPBH 29 itu, dia tidak sedikit pun rasa tergugat mahupun bimbang melihat kemunculan ramai pelapis dalam industri muzik. – Agensi
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P18-B-The-Star_04082023.jpg)