NEW DELHI, 1 Mei – Aizawl FC telah menjulang gelaran Liga India (Liga-I) untuk menjadi pasukan pertama dari timur laut India memenangi liga teratas negara tersebut selepas mengharungi musim seperti kisah dongeng Leicester City.
Kejuaraan Aizawl itu, yang dimuktamadkan dengan keputusan seri 1-1 menentang Shillong Lajong semalam, telah menarik perbandingan di India dengan kisah Leicester City yang melepasi penyingkiran pada 2014-15 untuk memenangi Liga Perdana Inggeris tahun lepas.
Pasukan India itu yang dilatih oleh Khalid Jamil, bekas pemain India kelahiran Kuwait, telah diberikan nafas baru untuk bertanding semula dalam kejohanan liga teratas musim ini oleh Persekutuan Bola Sepak India (AIFF) meskipun disingkirkan pada 2015-16.
Persembahan menarik yang dipamerkan oleh kelab yang berpangkalan di Mizoram itu dalam Piala Persekutuan domestik di mana mereka mengalahkan juara Liga-I tahun lepas, Bengaluru FC sebanyak dua kali merupakan sebab utama atas kemasukan semula mereka.
Aizawl mendapat tekanan sepanjang musim oleh gergasi dari Barat Bengal, Mohun Bagan yang menekan mereka di sepanjang musim, tetapi akhirnya kekurangan satu mata meskipun menang 2-1 ke atas Chennai FC dalam perlawanan terakhir mereka.
“Kejayaan Aizawl FC telah membuka satu kisah baru dalam sejarah Bola Sepak India,” kata presiden AIFF, Praful Patel dalam satu kenyataan.
“Kejayaan ini akan memberikan semangat kepada belia di negara ini dan mencipta satu keyakinan diri bahawa dalam bola sepak anda boleh mencapai apa sahaja dengan kerjasama berpasukan,” tambah Patel. – AFP