Sunday, November 24, 2024
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ajai, Exists tiada isu sejak keluar kumpulan

    Keputusan untuk keluar daripada Exists tidak membuatkan penyanyi dan komposer Ajai mempunyai masalah untuk bekerjasama bersama kumpulan berkenaan lagi.

    Kata Ajai atau Mohd Faizal Maas, 50, tiada perbalahan yang berlaku antara mereka meskipun ada beberapa anggota yang memilih haluan masing-masing dan meninggalkan kumpulan berkenaan.

    “Walaupun dalam Exists ada anggota yang sudah keluar kumpulan, macam saya sendiri tetapi kami semua tidak ada masalah sekiranya dipanggil untuk membuat persembahan bersama.

    “Kami tidak bergaduh. Selalunya pergaduhan berpunca daripada kejujuran sahaja.

    “Biasanya bergaduh ni fasal kewangan, kutuk mengutuk tetapi perkara itu semua tiada dalam Exists,” katanya kepada mStar.

    Ajai berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Umrah Langkah Seiringan Exists yang diadakan di Hotel Royal Chulan, The Curve, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

    Dalam pada itu, Ajai memberitahu Exists tidak berdepan sebarang kemelut disebabkan oleh kepercayaan yang diletakkan kepada setiap anggota.

    Tambahnya, Exists juga tidak pernah membuat perbandingan antara anggota kerana kesemua ahli menerima layanan adil.

    “Di sini menunjukkan kejujuran Exists yang di mana pembahagian wang diberi dengan betul, berkata benar, tidak ada apa yang perlu disorokkan.

    “Tidak wujud perbandingan antara anggota kumpulan. Bila dah masuk Exists, kamu penerbit ke, penulis lirik atau pemain dram sekali pun semuanya sama,” ujarnya.

    Malah, setiap anggota Exists saling memberikan sokongan antara satu sama lain meskipun sudah tidak lagi bersama dalam satu kumpulan.

    Mengakui wujud perbalahan dalam kumpulan satu ketika dahulu, namun semuanya hanya kerana tuntutan kerja yang tidak melibatkan emosi sehingga bermasam muka.

    “Alhamdulillah tiada kebencian antara satu sama lain dalam kumpulan Exists. Kami sentiasa saling memberikan sokongan.

    “Kami dah puas bergaduh agaknya sewaktu dalam kumpulan. Perkara itu mendewasakan kami. Tapi perbalahan itu wujud pun fasal muzik,” jelasnya.

    Ditanya soal kumpulan muzik yang berdepan kemelut dengan bekas anggota mereka, Ajai berpendapat individu tersebut masih tidak memahami erti kumpulan yang sebenar.

    Kata Ajai, mereka sepatutnya bersatu dan bukannya mewujudkan perpecahan yang mendatangkan kemudaratan kepada semua.

    “Mereka mungkin tidak faham erti kumpulan itu sebenarnya. Nama pun kumpulan, sesuatu yang dikumpulkan.

    “Bila dikumpulkan maksudnya hubungan lebih rapat. Kalau ada masalah pun masing-masing punya hal peribadi tanpa perlu dibawa dalam kumpulan.

    “Nama kumpulan pun satu doa agaknya. Wujud (Exists). Saya rasa nama pun doa, kalau kumpulan Karam, karamlah kamu,” katanya.

    Untuk rekod, Ajai merupakan anggota asal Exists yang ditubuhkan pada 1991 bersama lima anggota lain iaitu Mamat (vokalis), Musa (bass), Ujang (dram), Shah (gitar) dan Along (gitar).

    Bagaimanapun Ajai mengambil keputusan meninggalkan Exists tiga tahun selepas Mamat juga keluar daripada kumpulan tersebut pada 1994. – Agensi

    Exists bakal menunaikan umrah bersama.- mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda