Wednesday, November 13, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ajai minta Fazura baiki nyanyian guna peluang

    Sebagai seorang komposer berpengalaman, Ajai menganggap nyanyian Nur Fazura boleh diperbaiki dengan mengikuti latihan yang tepat.

    Bagi Ajai atau Mohd Faizal Maas, 50, Fazura mempunyai pasukan profesional di belakangnya untuk meneliti kualiti dan memperbaiki nyanyian.

    “Sebagai individu yang mempunyai kelompok peminat besar, dia patutnya ambil inisiatif untuk ‘upgrade’ vokal dan bunyian yang sedap.

    “Kita sendiri kena tahu bunyian (dihasilkan) itu sedap atau tidak. Setahu saya dia bekerja dengan orang-orang profesional. Itu kelebihan dan peluang dia untuk besarkan lagi bakatnya,” katanya.

    Ajai berkongsi perkara itu ketika ditemui di konsert akhir program The Chosen One 2024 yang berlangsung pada malam Jumaat.

    Tambahnya dalam penghasilan lagu Fazura perlu mendapatkan khidmat produser yang tepat supaya setiap karya sesuai dengan vokalnya.

    “Dia perlukan produser yang tepat sebab nyanyian bukan tentang seseorang ada vokal tinggi.

    “Bunyi yang sesuai atau kita panggil ‘easy listening’ dan tidak mencederakan vokal. Penerbit kena tahu kemampuan nyanyian dia,” ujarnya.

    Mengulas mengenai persembahan Fazura, Ajai enggan membuat penilaian tentang persembahan Fazura yang menjadi bualan baru-baru ini.

    Sebaliknya Ajai memberitahu peminat kini bijak menilai nyanyian seorang penyanyi disebabkan pelbagai teknologi masa kini.

    “Saya menonton persembahan dia secara singkat sahaja di Instagram, kalau tiada kena mengena dengan saya, saya tidak akan komen.

    “Kalau produk itu datang daripada saya atau sebagai juri, saya akan ikhtiar kenapa jadi begitu.

    “Cuma sekarang pendengar sudah tahu ‘mendengar’ apatah lagi sekarang macam-macam teknologi boleh dilakukan di rumah.

    “Pengajaran muzik juga sudah meluas bukan hanya di studio rakaman tetapi di rumah,” jelasnya.

    Sebelum ini, nyanyian secara langsung Fazura menyampaikan lagu Bertahan Demi Cinta ketika tampil dalam sebuah program di Jakarta, Indonesia menjadi bahan ketawa dan kritikan pelbagai pihak.

    Ramai menganggap Fazura tidak boleh menyanyi dan meminta selebriti popular mengekalkan kariernya sebagai pelakon. – Agensi

    Ajai merasakan nyanyian Fazura boleh diperbaiki. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda