Saturday, May 10, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ajak keluarga ganda amalan

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Sudah menjadi kewajipan semua umat Islam untuk mengagungkan dan memuliakan Al-Quran dengan menjaga kesuciannya, membaca serta mengamalkan ajaran yang terkandung di dalamnya bagi memperolehi ganjaran rahmat dan syafaat pada hari akhirat nanti.

    Ganjaran berlipat ganda itu boleh dinikmati dan diperolehi pada bulan suci Ramadan ini, bulan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan dan dalam bulan inilah turunnya kitab suci Al-Quran kepada seluruh umat manusia sebagai penyuluh dan pegangan bagi kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat.

    Oleh itu, khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Fadilat Membaca Al-Quran’ menjelaskan kelebihan orang-orang yang membaca Al-Quran sepertimana yang terkandung dalam hadis-hadis Rasulullah SAW antaranya ialah memperolehi kedudukan yang tinggi di dalam syurga dan diberikan mahkota kemuliaan pada hari kiamat kelak serta dikurniakan ketenangan dan kewaspadaan.

    Bahkan kelebihannya juga begitu istimewa di mana satu huruf Al-Quran yang dibaca oleh seseorang akan mendapat satu pahala.

    “Pada bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita merebut peluang untuk meraih pahala membaca Al-Quran walau sesibuk mana pun kita dengan urusan pekerjaan dan kehidupan kita sehari-hari, janganlah sekali-kali kita lupa atau tidak meluangkan masa untuk membaca Al-Quran,” tegas khatib.

    Tambahnya, bertepatan dengan Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan pada minggu pertama bulan Mei setiap tahun yang jatuh dalam bulan suci ini dengan temanya ‘Keluargaku Harapanku’ yang pastinya diharapkan dapat menyuntik semangat kekeluargaan kepada masyarakat dengan tidak membelakangi dan mengabaikan mana-mana ahli keluarga yang ditimpa masalah.

    “Sesungguhnya hubungan erat sesebuah keluarga itu adalah bergantung kepada ikatan kasih sayang antara ibu bapa, anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Oleh itu, binalah kasih sayang sesama ahli keluarga dan perkukuhkanlah ia supaya kebahagiaan dan keharmonian akan terjalin sepanjang masa,” ujar khatib.

    Jelasnya, perkara itu terbukti menerusi hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Jabir bin Abdullah RA, Baginda bersabda ‘Barang siapa tidak menyayangi manusia, Allah tidak akan menyayanginya’. Hadis tersebut menganjurkan umat Islam supaya hidup berkasih sayang antara sesama manusia apatah lagi dengan ahli keluarga.

    Begitu juga digalakkan untuk sentiasa memelihara hubungan silaturahim.

    Khatib juga mengingatkan keluarga adalah institusi terpenting bagi sesebuah masyarakat kerana lahirnya individu yang akan menjadi tulang belakang kepada sesebuah bangsa dan negara maka inilah masa yang tepat dan sesuai untuk kita memupuk kasih sayang dan keharmonian sesebuah keluarga iaitu dengan mengajak ahli keluarga berbuat amal kebajikan secara berjemaah seperti mendirikan sembahyang fardu, sembahyang sunat, bertadarus Al-Quran, berbuka puasa, bersahur dan seumpamanya.

    “Rebutlah peluang pada bulan Ramadan ini untuk bersama-sama ahli keluarga meraih ganjaran pahala yang berlipat ganda, di samping memperkukuhkan lagi hubungan kekeluargaan.

    “Oleh itu, marilah kita bersama-sama berazam untuk mengisi masa dan ruang yang ada ini dengan melakukan perkara-perkara yang baik dan berkebajikan demi mengharap berkat dan rahmat Allah SWT,” ujar khatib semasa mengakhiri khutbahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda