Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ajak mualaf hayati bulan suci

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    TEMBURONG, 15 MAC – Kelebihan bulan Ramadan ialah terdapatnya malam Lailatul Qadar dan bulan Ramadan adalah bulan pengampunan, dianjurkan untuk memperbanyakkan sedekah di bulan ini, dan amalan-amalan sunat digandakan pahalanya.

    Kita juga disuruh untuk memperbanyakkan doa meminta pengampunan kepada Allah SWT.

    Perkara berkenaan adalah inti pati tazkirah bertajuk Kelebihan Bulan Ramadan untuk Orang Islam Merebutnya yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Unit Dakwah Daerah Temburong, Haji ‘Abdul Mu’iz bin Haji Amat sempena Majlis Tadarus Al-Quran, Bersungkai dan Sembah-yang Sunat Tarawih serta Witir bersama para Mualaf di Daerah Temburong, kelmarin.

    Majlis anjuran Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Bahagian Pembangunan Mualaf berserta rombongan Urus Setia Penerbitan Tafsir Mushaf Brunei Darussalam dan Urus Setia Program Keugamaan Belia itu diadakan di Balai Ibadat Kampung Sibut, Daerah Temburong dan hadir selaku tetamu kehormat dan selaku ketua rombongan ialah Pemangku Pengarah PDI, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman.

    Turut hadir ialah Ketua Bahagian Pembangunan Mualaf, Dr Hajah Rohanita binti Haji Yaakub dan Yang Dipertua Persatuan Saudara Baharu Daerah Temburong (PESAT), Awang Muhd Ashim Amrullah bin Abdul Rahman.

    Haji Ahmad Abdussalam mengetuai rombongan pada Majlis Tadarus Al-Quran, Bersungkai dan Sembahyang Sunat Tarawih serta Witir bersama para Mualaf di Daerah Temburong. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    Antara peserta perempuan yang mengikuti majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh ketua rombongan, diikuti dengan bacaan tadarus dan Tahlil.

    Majlis juga menyaksikan penyampaian Buku Panduan Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir (Siri Bimbingan Muallaf) dan Ratib Al-Attas (Siri Bimbingan Muallaf), yang disusuli dengan berbuka puasa dan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah.

    Majlis diikuti dengan menunaikan sembahyang Fardu Isyak, sembahyang Sunat Tarawih dan Witir berjemaah.

    Antara objektif aktiviti itu adalah untuk menggalakkan para mualaf bagi sama-sama mengimarahkan masjid, surau, balai ibadat, pos dakwah dan juga rumah kegiatan agama di kawasan masing-masing.

    Ia juga bertujuan untuk mengajak para mualaf bagi sama-sama menghayati bulan Ramadan dengan melakukan aktiviti-aktiviti keagamaan seperti membaca Al-Quran, sembahyang Sunat Tarawih dan Witir berjemaah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda