IPOH – Pemindahan ilmu berkaitan amalan terbaik dalam pengurusan sisa plastik sekali guna perlu dilaksanakan di peringkat sekolah bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Datuk Rosli Isa berkata, komitmen daripada segenap lapisan masyarakat diperlukan dalam menguruskan sisa plastik secara berkesan memandangkan penjanaan bahan itu yang kian meningkat dari semasa ke semasa.
“Salah satu kaedah yang paling berkesan ialah mendidik pelajar sekolah bermula di peringkat prasekolah, sekolah rendah serta menengah sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kandungan mata pelajaran kokurikulum dan aktiviti kokurikulum sekolah perlu diterapkan dengan kesedaran pengurusan sisa plastik sekali guna disertai dengan amalan-amalan hijau yang lain dan juga aplikasi teknologi hijau.
“Pembentukan sikap seseorang yang cintakan alam sekitar dalam kalangan pelajar sekolah hendaklah diusahakan bersungguh-sungguh supaya ia dapat menjadi sebahagian daripada budaya dalam masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Sekolah Tunas Hijau baru-baru ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar berkata, sebanyak 125 buah sekolah menengah di negeri ini dipilih menyertai Program Sekolah Tunas Hijau membabitkan seramai 250 orang guru dan 2,250 pelajar.
Beliau berkata, program itu dilaksanakan bermula Mac lepas hingga Februari 2025 dengan menyasarkan pengetahuan mengenai pengurusan pengurangan sisa plastik sekali guna dalam kalangan warga sekolah sehingga 80 peratus dan pengurangan sisa plastik sekali guna di sekolah sehingga 50 peratus.
“Saya difahamkan Program Sekolah Tunas Hijau ini bukan sahaja melibatkan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan malah program ini akan diterapkan dengan pelbagai aktiviti di bawah kelab kokurikulum di sekolah antaranya Kelab Sains, Kelab Alam Sekitar atau Kelab Pencinta Alam.
“Persediaan aktiviti-aktiviti dalam program ini adalah selaras dengan objektif sebenar program ini antaranya meningkatkan pendedahan, pengintegrasian dan pembudayaan amalan pengurusan sisa plastik sekali guna yang cekap dalam kalangan warga pendidik dan pelajar di sekolah, selain dapat meningkatkan pemahaman mengenai amalan gaya hidup hijau,” katanya. – Bernama