THE HAGUE, 3 NOV – Setelah mengalami lima kekalahan berturut-turut dalam liga, pasukan gergasi Belanda, Ajax, berjaya bangkit daripada tangga tercorot dalam liga Eredivisie dengan kemenangan 2-0 di laman sendiri ke atas FC Volendam semalam.
Juara Eropah empat kali itu – dan pasukan Belanda yang paling berjaya setakat ini dengan 36 kejuaraan domestik – hanya meraih kemenangan kedua musim ini hasil jaringan pada separuh masa kedua daripada Steven Bergwijn dan Chuba Akpom.
Kemenangan terakhir mereka dalam liga adalah pada hari pertama permulaan musim pada 12 Ogos lalu.
Ia menandakan permulaan yang baik untuk jurulatih baharu John van ‘t Schip yang dilantik ke jawatan tertinggi minggu ini selepas pemecatan Maurice Steijn pada Oktober.
Ajax kini menduduki tangga ke-15 dengan lapan mata dalam liga yang mempunyai 18 pasukan, walaupun mereka mempunyai baki satu perlawanan, namun masih kekal 22 mata di belakang pendahulu PSV Eindhoven.
Ajax akan menjadi tuan rumah kepada pasukan Heerenveen dalam liga pada Ahad ini sebelum meneruskan kempen Liga Europa mereka dengan perlawanan di tempat sendiri menentang Brighton pada 9 November depan. – AFP