PARIS, 7 OGOS – Pasukan separuh akhir Liga Juara-Juara musim lepas, Ajax bangkit untuk meraih keputusan seri 2-2 dalam kunjungan mereka ke PAOK Thessaloniki awal pagi tadi bagi saingan pertama pusingan kelayakan ketiga.
Juara Belanda, Ajax, nyaris mara ke final musim lepas tetapi sekali lagi perlu mengharungi siri perlawanan kelayakan meskipun menjuarai gelaran buat kali ke-34 pada Mei.
Hakim Ziyech meletakkan Ajax di depan pada minit ke-10 di Greece menerusi sepakan percuma menewaskan penjaga gol PAOK, Alexandros Paschalakis.
Bekas pemain remaja Arsenal, Chuba Akpom menyamakan kedudukan buat PAOK, yang tanpa tewas musim lepas dalam laluan mereka menjuarai gelaran Greece buat pertama kali dalam tempoh tiga dekad.
Pemain pertahanan Leo Matos menanduk masuk gol buat PAOK sebelum rehat.
Penyerang veteran, Klaas Jan Huntelaar kemudian menjadikan 2-2 pada minit ke-57 apabila bola melantun terkena kakinya dan bergolek masuk ke gawang. Kedua-dua pasukan akan bertemu lagi di Amsterdam bagi perlawanan timbal balas minggu depan, dengan pemenang akan berdepan Qarabag dari Azerbaijan atau APOEL dari Cyrus dalam perlawanan kelayakan peringkat kumpulan. – AFP
